IBRAHIM berulang-alik ke hospital pada waktu malam selepas selesai bekerja. FOTO ihsan Ibrahim Hassan
IBRAHIM berulang-alik ke hospital pada waktu malam selepas selesai bekerja. FOTO ihsan Ibrahim Hassan
Roselan Ab Malek


BERULANG-alik antara Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) dengan rumah di Taman Sri Jaya di Jerantut sejauh hampir 150 kilometer sudah menjadi rutin Ibrahim Hassan, 42, untuk menjaga isterinya, Norkiah Razali, 48, yang terlantar akibat kanser usus, sejak sebulan lalu.

Menunggang motosikal jenis Yamaha, Ibrahim mengambil masa kira-kira dua jam untuk sampai ke hospital.

Menurutnya, cabaran menguruskan isterinya itu sebenarnya tidak sehebat penderitaan ditanggung Norkiah dan dia sanggup berulang-alik ke hospital pada waktu malam selepas selesai bekerja.

“Setiap hari selepas habis kerja pada jam 7 malam, saya akan tunggang motosikal berseorangan ke hospital.

“Saya orang susah, tidak mampu menyewa kereta berulang-alik setiap hari. Hendak minta bantuan jiran pun takkan setiap hari,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.

Menceritakan keadaan ditanggung isterinya kini, Ibrahim memaklumkan Norkiah pada mula mengadu sakit perut dan hanya memakan ubat kerana menganggap ia hanyalah gastrik.

Namun katanya, selepas dua kali menerima rawatan di Hospital Jerantut akhirnya isterinya dirujuk ke HOSHAS dan doktor mengesahkan isterinya menghidap kanser usus.

Ibrahim berkata, perut isterinya sudah dibedah dan dia perlu dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi mendapat rawatan susulan.

Dia yang bekerja sebagai pembantu kedai runcit memberitahu akan menjaga isterinya hingga jam 12 tengah malam sebelum meneruskan rutin harian menguruskan anak mereka di rumah.

Hasil perkahwinan pasangan itu dikurniakan tujuh cahaya mata berusia tiga hingga 23 tahun.

“Bila di rumah saya akan ke pasar untuk beli barangan keperluan harian dan akan hantar anak ke sekolah pada jam 7 pagi. Ada ketika anak-anak tidak dapat ke sekolah disebabkan beberapa kekangan.

“Kini saya cuba yang terbaik untuk menguruskan mereka dan tidak lagi membenarkan mereka ponteng sekolah kerana Muhammad Faizal, 15, dan Nurul Aida ,17, akan menduduki Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi,” katanya.

Dia bersyukur kerana majikannya turut memahami situasi dihadapinya dan sering membantu menghulurkan duit minyak dan memberikan cuti.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Ogos 2019 @ 2:58 PM