Antara pelajar yang terpaksa menerima rawatan  dalam insiden gangguan kesihatan pada Jun lalu. Foto Mohd Azren Jamaludin
Antara pelajar yang terpaksa menerima rawatan dalam insiden gangguan kesihatan pada Jun lalu. Foto Mohd Azren Jamaludin
Izlaily Nurul Ain Hussein


SIMPTOM muntah, pening dan loya yang dialami murid dan pelajar sekolah di Pasir Gudang dalam insiden gangguan kesihatan pada Jun lalu dilihat tidak berisiko untuk memberi kesan kesihatan dalam jangka masa panjang.

Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Jabatan Kesihatan Johor Dr Shaharom Nor Azian Che Mat Din berkata, hasil pemeriksaan ke atas kesan dialami mereka yang terjejas dalam insiden itu dilihat pada tahap masih rendah.

“Risiko kebarangkalian untuk kesan jangka masa panjang itu mungkin rendah kerana kita lihat insiden kali ini, bahan kimia atau gas itu kesannya pada bau dan tahapnya lebih rendah.

“Ini bermaksud, bila terhidu bau itu, individu akan alami simptom tetapi belum tiba ke tahap membahayakan kesihatan.

“Tahap kesan muntah, loya dan pening itu masih terlalu rendah memberikan risiko kesihatan untuk jangka masa panjang, maknanya udara itu ada pencemaran tetapi belum sampai menjejaskan kesihatan jangka panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan seorang wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada Sesi Townhall Isu-isu Semasa Pasir Gudang yang bertanya tentang kesan jangka panjang pencemaran Pasir Gudang terhadap kesihatan murid atau pelajar yang terjejas.

Dr Shaharom berkata, tiga gas dikesan dalam isu Pasir Gudang iaitu methyl mercaptan, acrylonitrile dan acrolein yang memberi kesan pada paru-paru, kulit atau radang mata dalam jangka masa pendek sekiranya terdedah pada dos tinggi.

Malah, katanya, jika ia memberi kesan kepada organ manusia, ia masih boleh pulih semula.

“Ini kesan jangka pendek apabila dos tinggi tetapi kesan jangka panjang, kami pun belum tahu kerana pencemaran bahan kimia kali ini adalah yang pertama kami hadapi.

“Tetapi, ramai yang bimbang ia memberi impak kepada masalah kanser kerana baru-baru ini ada artikel menyatakan acrylonitrile boleh menyebabkan kanser tetapi kajian oleh Agensi Kajian Kanser Antarabangsa sejak 1970 mengklasifikasikan gas ini pada gred 2B iaitu berkemungkinan kanser.

“Ini bermakna, kajian dijalankan di makmal mendapati kanser itu berlaku pada haiwan uji kaji tetapi belum ada sebarang punca kanser kepada manusia, manakala gas acrolein pula pada gred 3 iaitu tidak akan menyebabkan kanser,” katanya.

Pada masa sama, Dr Shaharom menegaskan insiden gangguan kesihatan pada Jun lalu berbeza dengan pencemaran Sungai Kim Kim yang berlaku pada Mac lalu.

“Kita tahu insiden Sungai Kim Kim adalah satu bencana dan mengikut mana-mana pengalaman bencana memang akan ada berlaku kesan tekanan, kebimbangan dan lebih teruk trauma kepada mereka yang terjejas.

“Paling normal, kita perlukan masa enam bulan untuk pesakit yang terkesan dengan bencana pulih seperti sedia kala dan insiden pada Jun lalu berlaku dalam tempoh normal bagi pesakit yang terkesan dengan bencana ini tetapi sehingga kini ia tidaklah sampai pada tahap yang paling teruk (trauma),” katanya.

Beliau berharap ibu bapa memberi sokongan pada anak mereka dan tidak melakukan penganiayaan dengan tidak mahu merujuk anak terjejas kepada pakar apabila disarankan.

“Dah ada stigma bila cakap pasal mental, panik dan histeria. Ibu bapa marah bila kita mahu beri rawatan mental, mereka tidak mahu bawa anak mereka.

“Daripada 60 kanak-kanak yang dirujuk kepada pakar, hanya 15 sahaja yang datang. Ini satu penganiayaan, kasihan pada anak-anak. Kita mahu bantu kurangkan tempoh kesan yang mereka lalui itu,” katanya.

Lagi berita berkaitan Pencemaran Udara Pasir Gudang

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Ogos 2019 @ 5:33 PM