TUAN Kembang (kiri) menunjukkan gambar Allahyarham Ismail yang meminta supaya mendoakan dia sihat dan dapat menunaikan haji dengan baik ketika ditemui di Kampung Telaga Papan, Pasir Puteh, hari ini. FOTO Nor Amalina Alias.
TUAN Kembang (kiri) menunjukkan gambar Allahyarham Ismail yang meminta supaya mendoakan dia sihat dan dapat menunaikan haji dengan baik ketika ditemui di Kampung Telaga Papan, Pasir Puteh, hari ini. FOTO Nor Amalina Alias.
Nor Amalina Alias


“TAK usah runsinglah, ayah masih sihat, doakan ayah dan ayah akan berdoa untuk semua yang ada di rumah (kampung), biar dapat haji,” kata Ismail Yaacob, 67, menerusi video selepas selamat tiba di Madinah bagi mengerjakan haji.

Video berdurasi 39 saat itu kini menjadi kenangan buat keluarga apabila warga emas itu meninggal dunia di Makkah pada 3 pagi hari ini (9.30 malam waktu Makkah).

Menantunya, Hasniza Mahamed, 45, berkata keluarganya mendapat panggilan daripada kakitangan Lembaga Tabung Haji (TH) yang memaklumkan kematian bapa mentuanya itu.

Katanya, arwah ke Tanah Suci bersama isteri, Mek Koyah Noor, 72, pada 11 Julai lalu yang juga haji kali pertama buat mereka suami isteri.

“Sebaik tiba di Madinah, arwah sempat buat video memaklumkan dia dan Mek (ibu) selamat sampai dan minta mendoakan mereka berdua mendapat haji mabrur.

“Namun pada 1 pagi (waktu Makkah) semalam, keluarga dimaklumkan ayah kena serangan jantung ketika tidur dan dimasukkan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia selepas Isyak (waktu Makkah), ” katanya ketika ditemui di Kampung Telaga Papan, Pasir Puteh, hari ini.

Allahyarham Ismail adalah imam tua Masjid Wahdatul Ummah mukim Telaga Papan sejak lebih 30 tahun lalu, meninggalkan tujuh anak termasuk tiga anak tiri yang dipelihara sejak kecil, 34 cucu dan 12 cicit.

Sementara itu, anak tirinya, Tuan Kembang Tuan Yaakob, 50, berkata arwah seorang yang sangat penyayang dan banyak menghabiskan masa di masjid.

Katanya, sehari sebelum meninggal dunia, arwah ada membuat panggilan dari Makkah dan sempat berpesan supaya dia menjaga adik-beradiknya dengan baik.

“Walaupun anak tiri, tapi saya memang rapat dengan ayah dan saya tidak menyangka itu pesanan terakhir.

“Kami sekeluarga reda dengan pemergian ayah walaupun tidak dapat menatap jenazah buat kali terakhir. Namun ayah pergi dalam keadaan baik di Tanah Suci,” katanya yang jenazah bapa dikebumikan di tanah perkuburan di Arafah pada 9.35 pagi hari ini (waktu Malaysia).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 3:41 PM