ANTARA barang kawalan yang cuba diseludup remaja lelaki ke Indonesia. FOTO Ihsan PPM.
ANTARA barang kawalan yang cuba diseludup remaja lelaki ke Indonesia. FOTO Ihsan PPM.
Abdul Rahemang Taiming


REMAJA lelaki ditahan selepas disyaki cuba menyeludup 1680 kilogram (kg) minyak masak dan gula di Kuala Sungai Logpond, Tawau.

Dia yang berusia 18 tahun ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) ketika mengendalikan bot jongkong pada 5.30 petang kelmarin.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, pihaknya menahan bot berkenaan ketika sedang bergerak keluar dari Sungai Logpond, susulan Ops Gelora Khas.

“Pemeriksaan dalam bot menemui 1,020 kg minyak masak dan 660 kg gula yang juga barang kawalan.

“Juragan gagal mengemukakan sebarang permit atau surat kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi semua barang kawalan dibawanya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, semua barangan itu disyaki cuba diseludup ke negara jiran, Indonesia.

“Bot diiring ke jeti dan nilai keseluruhan rampasan termasuk dua unit enjin 40 kuasa kuda (hp) berjumlah RM62,497.

“Remaja itu ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 9:39 AM