Mata mangsa yang bengkak selepas ditumbuk lelaki. FOTO Ihsan PDRM
Mata mangsa yang bengkak selepas ditumbuk lelaki. FOTO Ihsan PDRM
Nur Saliawati Salberi


BERANG anaknya menangis, lelaki bertindak menampar dan menumbuk muka serta mata nenek isterinya di Kampung Hilir, Batang Melaka, Jasin semalam.

Dalam kejadian 6 pagi itu, mangsa yang juga warga emas berusia 69 tahun cedera dahi selain kedua-dua matanya mengalami pendarahan dalaman.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, ketika kejadian cucu warga emas itu ke bilik air dan meninggalkan bayi perempuannya berusia lapan bulan kepada mangsa.

Beliau berkata, berang dan tidak tahan mendengar anaknya menangis, suspek bertindak memaki mangsa dengan kata kesat.

“Suspek kemudian bertindak menampar serta menumbuk muka mangsa sehingga warga emas itu rebah.

“Selepas kejadian itu suspek melarikan diri dari rumah mangsa dengan membawa isteri dan anaknya,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, suspek yang tidak bekerja menumpang di rumah mangsa selain warga emas itu juga yang menanggung mereka dengan bekerja sebagai tukang masak di sebuah sekolah agama.

“Mangsa yang cedera mendapatkan rawatan di Hospital Jasin dan doktor merujuknya ke Hospital Melaka untuk berjumpa pakar mata disebabkan matanya tidak boleh dibuka.

“Suspek berjaya ditahan 11 malam tadi di Bachang,” katanya.

Arshad berkata, ujian saringan air kencing dilakukan mendapati suspek positif dadah dipercayai Methamphetamine.

“Semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau membabitkan kes dadah.

“Dia kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 12:28 PM