Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. FOTO Eizairi Shamsudin
Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. FOTO Eizairi Shamsudin
Hairulazim Mahmud


KHAMIS sentiasa menjadi hari ‘istimewa’ setiap kali Sidang Dewan Rakyat bersidang.

Ini kerana, kebiasaannya pada hari itu sidang dewan akan ditamatkan tepat pada waktunya bagi membolehkan semua Ahli Parlimen khususnya yang jauh pulang ke kawasan masing-masing kerana tiada persidangan pada Jumaat.

Turut menerima tempias ‘penangan’ hari Khamis ini ialah perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019 yang dibentangkan untuk Bacaan Kali Kedua dipendekkan masanya.

Kebiasaannya perbahasan RUU, setiap Ahli Parlimen yang berbahas akan diberikan masa 15 minit tetapi untuk RUU itu hanya 10 minit seperti yang ditetapkan Timbalan Yang di-Pertua, Nga Kor Ming.

Beberapa Ahli Parlimen seperti Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu); Datuk Seri Fadillah Yusof (GPS-Petra Jaya); Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau); Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (PH-Hulu Langat) dan Nor Azlina Skrip (PH-Merbok) yang membahaskan RUU itu terpaksa menyelesaikan ucapan mereka dalam keadaan agak tergesa-gesa.

Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said pula mempersoalkan waktu yang singkat itu kerana ia adalah undang-undang baharu yang wajar diberikan lebih masa.

Bagaimanapun beliau memahami keperluan hari Khamis kerana ramai mahu pulang ‘awal’ selain malam ini ialah malam Jumaat.

Kata-katanya itu disambut dengan gelak tawa oleh Ahli Parlimen lain termasuk Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) yang hairan bagaimana Azalina ‘memahami’ keperluan ‘malam Jumaat’ sebelum sidang dewan gamat.

AZALINA: Sebenarnya 10 minit untuk bercakap mengenai undang-undang baharu dan elok adalah singkat tapi disebabkan hari Khamis malam Jumaat maka saya cakap mana mampu. (Sidang bersorak)

Timbalan Speaker lagi faham kerana pendekkan masa.

NGA: Bijaksana.

ISMAIL: Pengerang lebih faham, itu yang saya hairan.

AZALINA: Saya tak tahu saya faham atau tidak tapi dia (Ismail) kata saya faham (sambil tertawa).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2019 @ 6:34 PM