ADLY Zahari. FOTO KHAIRUNISAH LOKMAN
ADLY Zahari. FOTO KHAIRUNISAH LOKMAN
Fairuz Zaidan


KERAJAAN Melaka senada dengan pendirian kerajaan Persekutuan menerima pakai penetapan usia golongan belia dalam lingkungan 15 ke 30 tahun.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, pihaknya mengambil positif usaha mentakrifkan definisi belia dengan menurunkan had usia golongan itu daripada 40 kepada 30 tahun, sekali gus membawa lebih banyak suara mewakili golongan muda serta meremajakan institusi belia.

“Penetapan umur bagi golongan belia dalam lingkungan 15 ke 30 tahun dapat memberi impak besar, khususnya peluang untuk belia menyerlah dan terbabit dalam pembangunan negeri mahupun negara.

“Sehubungan itu, kita menerima pakai penetapan umur ini sebagaimana ditetapkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kerana peruntukan program disalurkan KBS berdasarkan kepada Dasar Persekutuan.

“Di Melaka juga, kita mempunyai seorang pemimpin belia berusia 27 tahun, Kerk Chee Yee yang diangkat dalam pentadbiran negeri sebagai Exco Komunikasi Multimedia, Pembangunan Belia dan Sukan negeri,” katanya pada sidang media pasca Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Seri Negeri, hari ini.

Pada 3 Julai lalu, persidangan Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta 688) bertujuan antaranya menurunkan had usia dalam takrif belia daripada 40 kepada 30 tahun.

Rang undang-undang itu juga mengadakan peruntukan bagi had usia minimum dan maksimum seseorang pemegang jawatan satu pertubuhan belia berdaftar dengan tidak kurang 18 tahun serta tidak lebih 30 tahun pada tarikh pelantikannya.

RUU itu dibentangkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Dalam perkembangan lain, Adly berkata, kerajaan negeri menubuhkan dua lagi pusat warga emas (PAWE) iaitu di Paya Rumput dan Merlimau, menjadikan keseluruhan lima PAWE di negeri ini.

“Dua PAWE terbaharu ini masing-masing membabitkan peruntukan RM100,000 di setiap lokasi di mana ia membabitkan pembelian peralatan, pembaikan dan pengubahsuaian premis serta pengoperasian.

“Ini adalah satu perkhidmatan bercorak pendampingan sosial dan pembangunan kepada warga emas membabitkan kerjasama strategik antara Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dengan agensi kerajaan lain serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

Tiga PAWE sedia ada adalah di Alor Gajah dengan penyertaan seramai 151 ahli, PAWE Bukit Baru (123 ahli) dan PAWE Pusat Transformasi Bandar (UTC) Melaka (450 ahli).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2019 @ 1:00 PM