Yusle dan isteri antara bakal jemaah yang terpilih mengerjakan haji tahun ini. FOTO Mohamad Hussin
Yusle dan isteri antara bakal jemaah yang terpilih mengerjakan haji tahun ini. FOTO Mohamad Hussin
Mohamad Hussin


“SUDAH tertulis rezeki saya dan isteri dapat menunaikan haji tahun ini walaupun diberi tempoh tujuh hari sama ada menerima atau tidak tawaran ini.

“Alhamdulillah, segala persiapan sudah dibuat kerana Allah SWT permudahkan urusan kami,” kata Yusle Mohd Yusoff, 52, antara bakal jemaah yang terpilih mengerjakan musim haji 1440 Hijrah/2019.

Dia dan isteri Zainah Zakaria, 54, menerima surat tawaran daripada Tabung Haji (TH) 29 Mei lalu, seminggu sebelum umat Islam menyambut Syawal.

“Sujud syukur kerana pertama kali kami terpilih walaupun dalam keadaan sedih dan gembira kerana diberi tempoh tujuh hari untuk menerima atau tidak tawaran ini.

“Dalam masa tujuh hari itu, saya dan isteri segera melakukan persediaan termasuk mendapatkan pengesahan perubatan daripada hospital.

“Jika kami menolak tawaran itu, saya tidak pasti bila giliran kami seterusnya dan selepas berbincang kami bersetuju menerima tawaran TH,” katanya ditemui di Puchong hari ini.

Yusle yang bekerja sebagai Penolong Pegawai Pertanian di Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) manakala Zainah suri rumah akan berlepas ke Tanah Suci pada 2.20 petang, 31 Julai ini.

Menurutnya, persiapan awal sudah dilakukan sejak tiga tahun lalu termasuk mengikuti kursus haji kerana ia penting bagi setiap jemaah mendapatkan maklumat dan ilmu.

“Perkara penting yang perlu ada pada bakal jemaah adalah ilmu. Sebab itu, kursus haji banyak membantu kerana ia tidak sama macam pergi umrah.

“Kalau tertinggal rukun haji maknanya kita hanya pergi melancong bukannya dapat ibadat haji dan perlu mengulang semula.

“Bagaimanapun, kita tidak pasti sama ada berpeluang atau tidak dijemput untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadah haji,” katanya.

Katanya, dia dan isteri mula menyimpan di TH sejak 2009 sebagai persediaan awal jika terpilih menjadi tetamu Allah SWT.

Lagi berita berkaitan Wasilah Haramain

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2019 @ 6:48 PM