KETUA Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed memeriksa premis jual minuman keras bagi mengesan penjualan minuman keras yang disyaki mengandungi bahan kimia beracun disyaki metanol, di sekitar bandar Port Dickson. FOTO Raja Noraina Raja Rahim
KETUA Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed memeriksa premis jual minuman keras bagi mengesan penjualan minuman keras yang disyaki mengandungi bahan kimia beracun disyaki metanol, di sekitar bandar Port Dickson. FOTO Raja Noraina Raja Rahim
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


SEORANG daripada tiga mangsa yang menerima rawatan susulan kes keracunan metanol, di Port Dickson sudah dibenarkan keluar dari Hospital Port Dickson (HPD), Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, setakat ini hanya dua individu masih menerima rawatan iaitu masing-masing di HPD dan Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah.

Katanya, lelaki warga India, R Sugumar, 33 beralamat di Jimah, Port Dickson dibenarkan keluar hospital pada 3 petang sebaik keadaannya kembali pulih.

“Keadaan kesihatan lelaki warga India itu semakin baik dan memuaskan. Seorang lagi rakan senegara, M Selvaraj, 50 masih dirawat di HPD,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Aidi Sham, dua lagi mangsa masih memerlukan pemantauan dan rawatan susulan sebelum dibenarkan pulang.

Harian Metro pada 17 Jun lalu melaporkan seorang lelaki warga Myanmar berusia 27 tahun meninggal dunia akibat keracunan metanol sebaik meminum arak beracun.

Tidak lama kemudian, remaja tempatan dari Jempol pula meninggal dunia dan tiga lelaki lain mengalami sesak nafas lalu dibawa mendapatkan rawatan di HPD serta HTAN.

Sehubungan kejadian, dua beranak dan seorang wanita direman polis empat hari bagi membantu siasatan berhubung insiden itu, Jumaat lalu.

Ketiga-tiga suspek adalah seorang wanita berusia 50 tahun dan anak lelakinya berumur 19 tahun serta seorang lagi wanita berusia 56 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 11:25 AM