ASISTEN Komisioner Dzulkhairi Mukhtar (tengah) bersama pegawainya menunjukkan barang rampasan berkaitan kejayaan tangkapan Ops Dadu pada sidang media di IPD Iskandar Puteri, hari ini. FOTO Zain Ahmed
ASISTEN Komisioner Dzulkhairi Mukhtar (tengah) bersama pegawainya menunjukkan barang rampasan berkaitan kejayaan tangkapan Ops Dadu pada sidang media di IPD Iskandar Puteri, hari ini. FOTO Zain Ahmed
Ibrahim Isa


PENUNTUT warga Nigeria antara 13 individu yang ditahan dalam serbuan di 16 pelbagai premis menerusi Ops Dadu bermula 19 Jun hingga semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, serbuan dilakukan hasil intipan dilakukan serta maklumat orang ramai.

Katanya, dalam salah satu serbuan di sekitar Iskandar Puteri, pihaknya berjaya menahan seorang pekerja premis warga Nigeria.

“Hasil soal siasat, lelaki itu mengaku sebagai pekerja sambilan dan datang ke Malaysia menggunakan pas pelajar. Kami kini menjalankan siasatan sama ada dia benar-benar penuntut di kolej swasta yang dimaksudkan atau tidak.

“Selain itu, kami menahan dua warga asing lain masing-masing seorang dari Indonesia dan Bangladesh kerana bekerja di premis perjudian haram itu.

“Kami juga merampas pelbagai peralatan digunakan dipercayai untuk kegiatan perjudian termasuk telefon bimbit, wang tunai dan pencetak resit,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sini, hari ini.

Menurutnya, bermula Januari lalu hingga semalam, pihaknya memeriksa sebanyak 2,979 premis serta 121 premis dikenal pasti terbabit dalam aktiviti perjudian atas talian dan catitan nombor haram.

Katanya, menerusi serbuan itu pihaknya menahan seramai 275 orang, merampas pelbagai peralatan digunakan untuk perjudian dan wang tunai berjumlah RM128,417 dan Dolar Singapura $7,030 serta peralatan perjudian.

“Pada masa sama, kami menahan seramai 275 orang berusia 19 hingga 65 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (judi loteri awam haram), Seksyen 4B (a) akta sama (judi online/telefon bimbit), Seksyen 7 (2) akta sama (judi tempat bebas), Seksyen 6 (1) akta sama (judi dalam bangunan), Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 (judi catit taruh haram) dan Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen.

“Bagi memastikan premis ini tidak lagi beroperasi, kami mendapatkan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan SAJ Ranhill Sdn Bhd (SAJ) untuk memotong bekalan air dan elektrik membabitkan 52 premis.

“Dalam tempoh itu, kami dapati mereka tidak lagi tertumpu pada perjudian atas talian sebaliknya menjalankan perjudian nombor ekor haram di premis seperti kedai kopi, telekomunikasi dan peralatan sembahyang,” katanya.

Berikutan itu, katanya, orang ramai mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu polis melumpuhkan aktiviti perjudian di Iskandar Puteri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2019 @ 6:10 PM