ABUDUREKEFU ketika menemui media tempatan di Kedutaan Republik Rakyat China di Kuala Lumpur
ABUDUREKEFU ketika menemui media tempatan di Kedutaan Republik Rakyat China di Kuala Lumpur
BERNAMA

SEORANG pemimpin Islam dari Xinjiang menyelar Barat kerana pandangan yang tidak adil terhadap wilayah autonomi itu dan menjadikannya sebagai mangsa sasaran kempen bagi mencetuskan ketidakstabilan di wilayah berkenaan.

Naib Pengerusi Kongres Perundingan Politik Rakyat Xinjiang, Abudurekefu Tumuniyazi menyifatkan laporan media Barat berhubung penindasan dihadapi etnik Uighur di wilayah itu sebagai kebenaran yang diputar belit selain turut mendakwa ia disebabkan perasaan tidak senang Barat terhadap pertumbuhan pesat ekonomi China.

“Media Barat mempunyai perspektif yang salah dan negatif mengenai Xinjiang. Sejak pembaharuan China dan tindakannya membuka pintu negara itu, China menikmati pembangunan mengagumkan dalam semua aspek, kestabilan dan kemakmuran.

“China dapat bersaing dengan Amerika Syarikat (AS) dan banyak negara barat,” katanya dalam satu taklimat kepada media di Kedutaan Republik Rakyat China di Kuala Lumpur, hari ini.

Abudurekefu yang juga Naib Presiden Persatuan Islam China dan Presiden Institut Islam Xinjiang, berkata kebangkitan China dilihat sebagai satu ancaman oleh banyak negara di Barat.

Katanya, sejak tiba di Malaysia dua hari lalu, beliau bertemu pelbagai komuniti Islam dan pihak berkuasa Islam termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai sebahagian usaha menjalin hubungan dan pemahaman lebih baik dengan umat Islam di negara ini.

“Saya faham ramai rakyat Malaysia bimbang dengan situasi umat Islam di Xinjiang. Oleh itu, kami menggunakan lawatan ini sebagai peluang untuk menjelaskan kebenaran kepada mereka,” katanya.

Beliau juga menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia mengunjungi Xinjiang untuk melihat dan menyaksikan sendiri situasi sebenar di sana.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2019 @ 11:06 PM