MAYAT lelaki tanpa pakaian yang ditemui terapung berhampiran Pulau Bumbum Besar, Langkawi, dihantar ke Hospital Langkawi. FOTO Ihsan APMM
MAYAT lelaki tanpa pakaian yang ditemui terapung berhampiran Pulau Bumbum Besar, Langkawi, dihantar ke Hospital Langkawi. FOTO Ihsan APMM
Hamzah Osman


MAYAT lelaki tanpa pakaian ditemui terapung di perairan Tenggara Pulau Bumbum Besar, di Langkawi, semalam.

Mayat yang belum dikenal pasti identitinya itu dilaporkan ditemui nelayan yang sedang menangkap ikan di kawasan terbabit kira-kira 5 petang.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Rozali Mohd Said berkata, sejurus menerima laporan berkenaan penemuan mayat itu, sebuah bot Maritim Malaysia kemudian dihantar ke lokasi penemuan mayat.

"Sebaik tiba di lokasi, anggota APMM menemui mayat lelaki dalam keadaan tidak berpakaian terapung kira-kira 0.1 batu nautika di Tenggara Pulau Bumbum Besar.

"Mayat terbabit kemudian dibawa ke Jeti Maritim Malaysia di Bukit Malut Langkawi sebelum diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Rozali berkata, sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang aduan daripada orang awam berkaitan kehilangan ahli keluarga.

Oleh itu, orang ramai yang ada kehilangan ahli keluarga diminta untuk menghubungi Pusat Operasi Maritim Langkawi di talian 04-9662750.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 9:56 AM