ISMEE di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Zunnur Al Shafiq
ISMEE di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Zunnur Al Shafiq
Murni Wan Omar


BEKAS Pengerusi Lembaga Pengarah SRC International Sdn Bhd, Tan Sri Ismee Ismail menafikan bahawa penukaran pemilikan syarikat dicetuskan oleh syarikat itu sendiri.

Ismee, 54, membuat penafian itu ketika menjawab soalan peguam Harvinderjit Singh yang mewakili bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam perbicaraan kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Beliau menjawab soalan Harvinder yang merujuk kepadanya Minit Mesyuarat Lembaga Pengarah SRC pada 2012 berhubung pemilikan syarikat SRC.

Saksi ke-39 itu berkata, penukaran pemilikan itu daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada Menteri Kewangan (Diperbadankan)(MKD) diluluskan oleh Najib sendiri.

Ismee memberitahu mahkamah bahawa ia diluluskan oleh Najib pada Februari 2012 melalui arahan MKD.

Sementara itu, Ismee dalam keterangannya mengakui tidak pasti sama ada duit dana SRC International Sdn Bhd di (SRC International) dalam Swiss Bank antara 2011 dan 2013 adalah dari dana Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) atau tidak.

Dalam keterangan sebelum ini, Ismee dan ahli lembaga pengarah SRC International yang lain pergi ke Switzerland pada September 2013 bagi melihat dana mereka di akaun bank di sana.

Ismee juga menjawab tidak pasti terhadap soalan sama ada wang pinjaman daripada KWAP itu ada dimasukkan ke dalam Bank Falcon atau Bank Julius Baer di Hong Kong.

Terdahulu, Ismee bersetuju dengan cadangan Harvinderjit bahawa Najib bukan penandatangan sah bagi syarikat SRC International, oleh itu tidak terbabit dengan wang RM1.8 bilion yang dihantar ke luar negara untuk pelaburan.

Harvinderjit merujuk kepada saksi berhubung dokumen yang menyatakan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan SRC International memohon kepada Bank Negara Malaysia untuk membawa keluar dana RM1.8 bilion itu.

Wang itu adalah sebahagian daripada RM2 bilion dana yang dipinjamkan daripada KWAP kepada SRC International.

HARVINDERJIT: Najib tidak boleh menandatangani arahan untuk wang itu dikeluarkan secara automatik dari syarikat?

ISMEE: Ya, tidak boleh.

HARVINDERJIT: Sebagai Penasihat Emeritus SRC International, Najib tidak pernah menjadi penandatangan akaun SRC International?

ISMEE: Ya.

Terdahulu, sebelum prosiding perbicaraan bermula, Harvinderjit memberitahu mahkamah bahawa pihaknya akan membuat keputusan kemudian sama ada mahu mencabar keterangan Ismee.

Dalam prosiding bicara kelmarin, pihak pembelaan memohon kes ditangguhkan bagi membolehkan pihaknya meneliti semula transkrip keterangan Ismee yang didakwa bercanggah dengan keterangan yang diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (SPRM).

Prosiding di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung Isnin ini dan masih dalam peringkat soal balas daripada Harvinderjit kepada Ismee sejak Selasa lalu.

Mahkamah turut mengingatkan saksi supaya tidak membincangkan kes itu dengan orang awam lain kerana beliau belum dibebaskan dariapda menjadi saksi.

Ismee seraya menjawab: “Jangan bimbang Yang Ariff, isteri saya tidak bertanya apa-apa.”

Ia menyebabkan mereka yang berada di galeri awam ketawa dengan jawapannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2019 @ 6:38 PM