Siti A’isyah Sukaimi


POLIS sudah membuka kertas siasatan berhubung isu video lucah yang mengaitkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta seorang lelaki dikenali sebagai Haziq Aziz.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, pada masa sama, polis juga tidak menolak kemungkinan akan memanggil individu didakwa terbabit dalam video itu bagi membantu siasatan.

“Kita ambil tindakan sebagaimana (kes) yang lain. Kita ada laporan polis... kita buka siasatan.

“Dalam proses siasatan, (individu yang didakwa dalam video) boleh dipanggil atau boleh tidak dipanggil mana yang berkenaan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Putrajaya, hari ini.

Semalam, Mohamed Azmin menafikan sekeras-kerasnya pembabitannya dalam video lucah berkenaan dan menyifatkannya sebagai satu tuduhan jahat dan kejam.

Timbalan Presiden PKR itu menegaskan, beliau yakin siri fitnah itu adalah komplot jahat untuk mencemarkan reputasi dan keperibadian serta menjatuhkan dan memusnahkan karier politiknya.

Susulan itu, Setiausaha Politik beliau, Muhammad Hilman Idham membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya dan laporan qazaf (tuduhan seseorang itu melakukan zina) di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, setakat ini polis menerima hanya satu laporan berhubung video berkenaan.

Ditanya sama ada individu yang menyebarkan video itu boleh diambil tindakan, beliau menjawab ringkas: “Boleh.”

Berita berkaitan:

  • Saya kenal dari jauh - Mohamed Azmin
  • Setiausaha Politik Mohamed Azmin buat laporan polis
  • 'Saya tak rasa ia benar'
  • Azmin nafi terbabit video lucah
  • 'Saya tak tau apa pun...'
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2019 @ 3:55 PM