SATU daripada tiga bot nelayan yang ditahan PPM. FOTO Ihsan PPM.
SATU daripada tiga bot nelayan yang ditahan PPM. FOTO Ihsan PPM.
Abdul Rahemang Taiming


PASUKAN Polis Marin (PPM) menahan tiga bot nelayan yang disyaki menangkap ikan di kawasan larangan iaitu kurang dua batu nautika dari pantai, di Tawau, semalam.

Ketiga-ketiga bot nelayan tempatan itu dikesan menangkap ikan menggunakan pukat tunda berhampiran pesisir pantai Laut Merotai dan Laut Sungai Udin, kira-kira 9 pagi.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, pemeriksaan mendapati bot terbabit masing-masing dikendalikan seorang juragan tempatan dan dua lelaki warga Indonesia berumur 37 hingga 44 tahun.

Katanya, turut ditahan enam anak kapal yang juga warga Indonesia berumur antara 30 hingga 40 tahun.

“Bot pukat tunda bersama kira-kira 60 kilogram (kg) hasil tangkapan dianggarkan bernilai RM1,950 diiring ke jeti Markas Operasi PPM Tawau untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8, Akta Perikanan 1985,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan komuniti nelayan supaya tidak melanggar syarat lesen kerana perbuatan itu bukan saja mengganggu ekosistem dan hidupan laut malah turut menjejaskan sumber pendapatan nelayan pesisir pantai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 8:47 AM