SAMAL Arizon Alias,34, mengelap peluh ibunya Samsiah Md Saad,68, yang lumpuh keseluruhan badan akibat strok sejak 2011. FOTO Noorazura Abdul Rahman
SAMAL Arizon Alias,34, mengelap peluh ibunya Samsiah Md Saad,68, yang lumpuh keseluruhan badan akibat strok sejak 2011. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


SANGGUP berhenti kerja sejak lapan tahun lalu demi menjaga ibu yang lumpuh, itu pengorbanan mekanik di Alor Setar.

Samal Arizon Alias, 34, berkata, keputusan itu dilakukan dengan rela hati apabila ibunya, Samsiah Md Saad, 68, lumpuh keseluruhan badan akibat strok selepas kematian bapanya Alias Ariffin pada 2011.

Katanya, kehidupan keluarganya berubah sekelip mata selepas itu kerana dia perlu menguruskan ibunya termasuk memandikan, menukar lampin serta menyuap makanan setiap hari.

“Sekarang kami bergantung kepada wang pencen bapa yang pernah bertugas sebagai polis sebanyak RM1,500 sebulan, setiap bulan kira-kira RM1,000 saya belanjakan untuk membeli kelengkapan seperti lampin pakai buang, tiub plastik kencing dan keperluan perubatan ibu saya.

“Duit lebihan itu saya gunakan untuk membeli makanan dan barang keperluan selain membayar sewa rumah sebanyak RM100 sebulan, mujurlah tuan rumah memahami keadaan kami sekeluarga dan tidak pernah menaikkan harga sewa rumah,” katanya yang tinggal di Pondok Titi Besi, Lorong Haji Othman, Kepala Batas, Alor Setar.

Bercerita lanjut, Samal Arizon atau lebih mesra dipanggil Bijon berkata, adik bongsunya Sulaiman, 26, turut berhenti kerja kilang dua tahun lalu bagi membantu menguruskan ibu mereka.

Katanya berikutan itu, mereka tiga beranak hidup ala kadar sahaja dan tidak mampu melakukan sebarang persiapan menyambut Hari Raya tidak lama lagi.

“Pada September 2014, ibu saya menerima wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan, ia dapatlah menampung keperluan kami tiga beranak, namun masih tidak mampu menggantikan tilam dan alas khas untuk ibu saya.

“Selain itu, saya sekarang turut mengalami kesukaran untuk mengeluarkan wang pencen bapa kerana terpaksa membawa ibu ke bank untuk membolehkan pihak bank mendapatkan cop jarinya, bukan mudah nak angkat ibu keluar masuk kereta dengan keadaan lumpuh keseluruhan badan tapi saya terpaksa akur dengan prosedur bank berkenaan,” katanya yang juga anak ketiga daripada empat beradik.

Sementara itu, nasib yang menimpa keluarga Bijon mendapat perhatian Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang menghulurkan bantuan makanan asas serta wang tunai.

Mahfuz berkata, pihaknya akan membantu untuk berbincang dengan pihak bank bagi memudahkan Bijon mengeluarkan wang pencen bapanya setiap bulan.

Bagi orang ramai yang mahu membantu meringankan beban keluarga ini, Bijon boleh dihubungi di nombor 0111-3219586 atau menerusi akaun bersama bank BSNatas nama Samal Arizon dan Samsiah (0200241000184007).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 9:40 AM