MAYAT kedua-dua mangsa dibawa ke darat selepas ditemui tidak jauh dari lokasi perahu mereka karam. FOTO ihsan bomba
MAYAT kedua-dua mangsa dibawa ke darat selepas ditemui tidak jauh dari lokasi perahu mereka karam. FOTO ihsan bomba
Erika George


MAYAT dua sahabat yang lemas selepas perahu dinaiki mereka karam di Sungai Batu Keling, Hulu Bakun, Bintulu berjaya ditemui berhampiran lokasi kejadian.

Mayat Wahab Jambu, 50, ditemui pasukan penyelamat pada jam 11.20 malam semalam dalam keadaan terapung manakala mayat Law Yew Ngee, 43, ditemui kira-kira 1.82 meter dari mayat pertama pada jam 4 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Belaga Deputi Superintendan Brodie Brangka ketika dihubungi mengesahkan penemuan itu.

“Kedua-dua mayat dibawa ke Hospital Bintulu untuk dibedah siasat.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Lembaga Sungai-Sungai, Persatuan Bomba Sukarela (PBS) Belaga, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta penduduk kampung ditamatkan pada jam 8.30 pagi tadi,” katanya.

Dalam kejadian jam 2.30 petang semalam, kedua-dua mangsa bersama seorang lagi rakan mereka dalam perjalanan ke sangkar ikan yang terletak 15.24 meter dari tempat mereka berlepas.

Bagaimanapun, rakan mereka, Siring Angah, 60, terselamat selepas berjaya berenang ke tebing sungai.

Difahamkan, perahu itu terbalik dan karam akibat kedudukan kedua-dua mangsa di dalamnya tidak seimbang.

Saksi kejadian berkata, seorang daripada mangsa dipercayai tidak pandai berenang dan berpaut pada rakannya sebelum kedua-duanya tenggelam dibawa arus deras sungai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 3:53 PM