Anggota bomba membawa jenazah pencari madu yang meninggal dunia akibat sawan di hutan seberang Sungai Korbu, Kampung Kenang, Sungai Siput. FOTO ihsan bomba.
Anggota bomba membawa jenazah pencari madu yang meninggal dunia akibat sawan di hutan seberang Sungai Korbu, Kampung Kenang, Sungai Siput. FOTO ihsan bomba.
Oleh Farah Suhaidah Othman


SEORANG pencari madu ditemui mati di hutan seberang Sungai Korbu, Kampung Kenang, Sungai Siput, semalam, dipercayai akibat sawan.

Dalam kejadian 6.20 petang itu, Faadelee Mohamad, 30, ditemui tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam sebelum meminta bantuan bomba untuk menyelamatkan mangsa.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa bersama tiga rakannya masuk ke kawasan hutan berkenaan untuk mencari madu.

“Sebaik selesai mencari madu, mangsa tiba-tiba diserang sawan dan berdasarkan maklumat awal, mangsa mempunyai sejarah penyakit itu.

“Namun polis masih belum mengenal pasti punca kematian berikutan bedah siasat dijalankan pagi ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Khaizam berkata, ketika operasi mencari dan menyelamat mangsa, bomba menghadapi kesukaran untuk mengeluarkan mangsa berikutan ketika kejadian cuaca sudah gelap.

“Anggota bomba mengambil masa kira-kira tiga jam untuk mengeluarkan mangsa berikutan keadaan gelap serta arus air sungai deras selepas hujan.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sungai Siput untuk bedah siasat dan polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut kerana siasatan di lokasi kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Siput, Ahmad Nashafuddin Mat Dohon ketika dihubungi berkata, cuaca gelap serta bentuk muka bumi yang tidak rata menyukarkan operasi mencari dan menyelamat mangsa di kawasan berkenaan.

“Anggota bomba menggunakan tali dan pengusung untuk membawa keluar mangsa dari kawasan hutan sebelum menyerahkan mayat kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi mengeluarkan mangsa ditamatkan jam 10 malam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2019 @ 11:17 AM