MOHD Ajib (tengah) dan Jawahar menyantuni penerima bantuan. FOTO Yusmizal Dolah Aling.
MOHD Ajib (tengah) dan Jawahar menyantuni penerima bantuan. FOTO Yusmizal Dolah Aling.
Yusmizal Dolah Aling


AKTIVITI pemantauan, penerangan dan operasi rutin terus dilaksanakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) sepanjang Ramadan.

Selain itu sekiranya ada umat Islam atau peniaga melakukan perbuatan menyalahi undang-udang notis hadir untuk membantu siasatan akan diberikan kerana tidak menghormati bulan Ramadan.

Pengarahnya Mohd Ajib Ismail berkata, Bahagian Penguatkuasaan JAWI akan meneruskan pemantauan seperti biasa bagi memastikan umat Islam mengikut syariat agama.

“Kita mengambil pendekatan berdasarkan konsep RAHMAH. Operasi seperti biasa tetap dijalankan. Kita tambah aspek pemantauan dan penerangan supaya semua lebih faham tuntutan agama.

“Saya katakan begini kerana kita tidak mahu ada yang memandang remeh ibadat puasa dan hanya takut jika penguat kuasa buat operasi.

“Apa yang perlu mereka faham ialah konsep ibadat itu. Pasukan kita (JAWI) akan teruskan operasi, jika ada yang menyalahi Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, kita akan ambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata, demikian ketika ditemui pada Majlis Pengedaran Bantuan Hari Raya 2019 di Sekolah Kebangsaan Taman Sri Rampai, Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Eksekutif Kumpulan Restoran Ali Maju, Datuk Jawahar Ali Taib Khan.

Mohd Ajib berkata, tidak timbul isu pihaknya tidak akan membuat operasi sepanjang Ramadan kerana ia adalah tindakan penguatkuasaan biasa dijalankan sepanjang tahu.

“Saya juga nasihatkan kepada peniaga agar menghormati bulan yang mulia ini. Kita perlu bersama-sama memainkan peranan untuk memartabatkan Islam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2019 @ 12:39 PM