Mahaizura Abd Malik


KUALA KUBU BHARU: Sekalipun berbeza pegangan akidah, ikatan anak beranak tidak pernah terputus.

Itu realiti ditunjukkan seorang ibu, Ang Bee Cheng, 48, yang bukan saja merestui pengislaman anaknya, Tan Mike Foong, 23, malah sentiasa menyokong perjalanan hidup pemuda itu sebagai Muslim.

Demi kasih sayang tak berbelah bahagi, Ang setia berulang dari kediamannya ke  Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) setiap minggu demi memastikan keperluan anak sulungnya dapat dipenuhi.

Wanita itu meluangkan masa dengan membawa makanan, keperluan dan mengambil semula pakaian kotor anak bujangnya untuk dicuci di rumah.

Malah, pada cuti semester Ang menghantar dan menunggu Mike solat Jumaat di masjid berdekatan kediaman mereka.

Suri rumah itu berkata, biarpun perit menerima hakikat pengislaman anaknya, namun akhirnya mereka sekeluarga menghormati keputusan Mike.

“Ibu mana sanggup terima anaknya masuk agama lain? Memang saya marah, tapi lama kelamaan saya terima dan hormati keputusannya.

“Anak tetap anak, hubungan kami tidak terputus walaupun dia masuk Islam.

“Malah saya harap dia gembira dan tidak salah buat pilihan,” katanya di sini, semalam.

ANG mengemas beg Mike di bilik asrama.
ANG mengemas beg Mike di bilik asrama.

Menurutnya, tiada apa yang berubah selepas anaknya menganut Islam meskipun mereka sekeluarga masih setia dengan agama Buddha yang dianuti nenek moyang mereka.

“Kami hormat Mike sebagai Muslim, apapun dia tetap darah daging kami.

“Kehidupan di rumah sama, kami masih makan semeja. Dari segi penyediaan makanan, tiada masalah sangat kerana saya masak lauk hidangan yang Mike boleh makan termasuk ikan dan sayur.

“Saya merestui dan senang dia menyambung pelajaran di Darul Quran kerana berdekatan rumah dan mudah dia berulang alik ke masjid bersama rakannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2019 @ 6:00 AM