Shamsul Munir Safini


LELAKI ditahan selepas mencuri RM1 dari tabung Masjid Papan, Kampung Pertama, Permatang Pauh, semalam.

Dalam kejadian 2 pagi, aksi suspek berusia 30-an yang bertopi keledar memecah masuk melalui pintu pagar belakang masjid disedari penduduk di situ.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, penduduk melihat suspek masuk dan menuju ke arah tabung asnaf yang berada berhampiran pintu masjid.

“Saksi melihat suspek cuba mengambil sesuatu dari dalam tabung dan memasukkannya ke dalam poket seluar.

“Selepas itu, suspek dilihat ke kawasan belakang masjid dan memanjat tembok masuk ke dalam dewan solat musafir wanita,” katanya.

Beliau berkata, suspek kemudian membuka pintu cermin bilik solat musafir lelaki dan terserempak dengan saksi kejadian.

Katanya, suspek mengaku konon datang ke masjid untuk menumpang tidur.

Nik Ros Azhan berkata, saksi lelaki itu kemudian memaklumkan kejadian kepada pihak pengurusan masjid.

“Susulan kejadian, pihak pengurusan masjid menghubungi polis dan suspek diberkas untuk tindakan lanjut.

“Polis yang membuat pemeriksaan terhadap suspek menemui wang kertas RM1 di dalam poket belakang seluarnya dan dirampas untuk siasatan,” katanya.

Menurutnya, suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2019 @ 5:00 PM