MUHAMMAD Fadhlan (kiri) dan Muhamad Ilham Hakimi bersama inovasi alat menangkap ular Snake Shock Stick yang dicipta.
MUHAMMAD Fadhlan (kiri) dan Muhamad Ilham Hakimi bersama inovasi alat menangkap ular Snake Shock Stick yang dicipta.
Mohd Rafi Mamat


KUANTAN: Menangkap ular lebih mudah selepas ini menerusi alat berkuasa elektrik dikenali Snake Shock Stick, ciptaan dua pelajar Politeknik Sultan Ahmad Shah (Polisas) di sini.

Alat itu yang mempunyai tiga komponen utama dan menggunakan kuasa bateri, mengambil masa sebulan untuk dihasilkan Muhammad Fadhlan Safee, 21, serta Muhamad Ilham Hakimi Abd Sukor, 22.

Muhammad Fadhlan berkata, mereka menggunakan penyepit boleh laras yang diletakkan di hujung galah atau stick untuk bertindak sebagai pemegang badan ular bagi mengelak reptilia itu agresif.

“Dua jarum yang berada di hujung galah akan terkena badan ular apabila disepit dan daripada situ, arus elektrik berkuasa 3.7 voltan terhasil untuk melemahkannya selama beberapa saat.

“Ular yang lemah memudahkan lagi usaha menangkapnya kerana tidak lagi menyerang,” katanya.

Menurutnya, alat itu berharga RM150 boleh digunakan untuk menangkap ular sederhana besar terutama membabitkan spesies tedung selar, ular kapak, ular sawa dan ular senduk.

Pelajar tahun akhir Diploma Elektrik dan Elektronik itu juga bersedia bekerjasama dengan agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk penggunaan alat itu.

Sementara itu, Muhamad Ilham Hakimi berkata, tidak kecewa ciptaan itu gagal menang pada Program Inovasi, Pelancaran Produk dan Keusahawanan (INNOPLEN) Kebangsaan 2019 di Polisas.

“Apa yang penting kami bangga menghasilkan alat berinovasi ini dan ramai yang berminat mendengar penerangan kami mengenai Snake Shock Stick.

“Suatu hari nanti kami berharap alat itu digunakan JBPM dan APM untuk menangkap ular berbisa dan mengalu-alukan penambahbaikan,” katanya yang memberitahu mereka menerima sokongan kuat pensyarah Mohamed Noor Azman Bidin selaku penyelia Jabatan Kejuruteraan Elektrik (JKE).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 7:30 AM