Bomba membantu memindahkan pesakit obesiti menggunakan lori. FOTO Ihsan Bomba
Bomba membantu memindahkan pesakit obesiti menggunakan lori. FOTO Ihsan Bomba
Muhammad Apendy Issahak


KHIDMAT pasukan bomba digunakan dalam membantu pesakit yang terpaksa dipindahkan dari sebuah hospital swasta ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan dari hospital swasta itu pada 2.02 petang yang memohon bantuan memindahkan pesakit mengalami masalah obesiti.

“Bomba terima panggilan daripada kakitangan hospital itu yang memohon bantuan membawa pesakit lelaki obesiti dengan anggaran berat 300 kilogram.

“Lelaki berusia lingkungan 30-an itu perlu dipindahkan ke HRPB untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh dengan bantuan BBP Ipoh ke hospital berkenaan dan kemudian membawa pesakit terbabit menggunakan lori 5 tan.

“Pesakit kemudian dibawa ke HRPB dan diserahkan untuk tindakan lanjut.

“Operasi yang diketuai Komander Operasi Hairi Mat Nawi itu selesai jam 3.58 petang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2019 @ 7:09 PM