Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Rizanizam Abdul Hamid


KEPUTUSAN penuh Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau dijangka diketahui selewat-lewatnya jam 10 malam.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata, pihaknya akan membuat pengiraan penuh kertas undi dan pengumuman keputusan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Sri Sendayan selepas semua peti undi dikumpulkan.

Menurutnya, SPR juga sudah menyerahkan peralatan pengundian kepada Ketua Tempat Mengundi untuk diatur di 14 pusat mengundi hari ini.

“Berdasarkan pengalaman dalam PRK sebelum ini, SPR jangka keputusan penuh selewat-lewatnya jam 10 malam namun kita akan cuba (umum keputusan) lebih awal.

“Peralatan sudah diserahkan kepada Ketua Pusat Mengundi bagi 53 saluran untuk proses pengundian,” katanya pada sidang media selepas meninjau pusat penjumlahan undi di SJKC Bandar Sri Sendayan, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai perjalanan kempen yang akan berakhir 11.59 malam ini, Azhar berkata, pihaknya berpuas hari dengan proses berkempen semua calon tanpa ada sebarang insiden yang tidak diingini.

Katanya, sehingga hari ini, pihak penguat kuasa pilihan raya (PPKPR) sudah mengambil tindakan sebanyak 16 kali terhadap parti yang bertanding kerana dikesan melakukan kesalahan.

“Antara kesalahan yang dilakukan adalah ceramah tanpa permit selain gegantung yang tidak mengikut peraturan ditetapkan,” katanya.

Esok, PRK DUN Rantau akan berlangsung bermula jam 8 pagi hingga 5.30 petang bagi memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau.

Pakatan Harapan (PH) meletakkan pakar bius, Dr S Streram yang akan bertembung dengan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga penyandang kerusi DUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Selain itu, dua calon bebas mencuba nasib iaitu bekas pensyarah Mohd Nor Yassin dan suri rumah R Malarvizhi.

Untuk rekod, DUN Rantau mempunyai 20,793 pengundi dengan 110 pengundi awal yang sudah menjalankan tanggungjawab Selasa lalu.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Rantau
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2019 @ 1:04 PM
    AZHAR Azizan pada sesi sidang media di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Dewan Serbaguna SJK (C) Bandar Sri Sendayan. FOTO Iqmal Haqim Rosman
    AZHAR Azizan pada sesi sidang media di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Dewan Serbaguna SJK (C) Bandar Sri Sendayan. FOTO Iqmal Haqim Rosman