VIJAYAKUMAR dan Mark Aaron mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan menerima rasuah berkaitan pemalsuan sijil diploma sebuah universiti swasta tahun lalu. FOTO Iskandar Shah Mohamed
VIJAYAKUMAR dan Mark Aaron mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan menerima rasuah berkaitan pemalsuan sijil diploma sebuah universiti swasta tahun lalu. FOTO Iskandar Shah Mohamed
Iskandar Shah Mohamed


DUA lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini, atas pertuduhan menerima rasuah berkaitan pemalsuan sijil diploma sebuah universiti swasta tahun lalu.

Tertuduh, C Vijayakumar dan Mark Aaron Pios masing-masing berusia 34 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan bersama di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan, eksekutif jualan dan pemilik restoran itu didakwa menerima suapan berjumlah RM3,000 daripada seorang individu sebagai upah mendapatkan Diploma Pentadbiran Perniagaan di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) tanpa mengikut prosedur yang betul.

Perbuatan itu dilakukan di Bangi pada jam 3.50 petang, 25 Januari tahun lalu.

Justeru, mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nor Ameelyna Zaini yang mengendalikan kes menawarkan kos ikat jamin RM10,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan pasport mereka turut perlu diserahkan kepada mahkamah.

Namun, peguam mewakili Vijayakumar, Syed Amirul Syed Edros memohon pengurangan berikutan anak guamnya itu mempunyai tanggungan isteri dan seorang anak berusia lapan bulan.

“Selain itu, anak guam saya menyara ibu bapa yang tidak bekerja dan mempunyai masalah kesihatan,” katanya.

Manakala, Mark Aaron yang tidak diwakili peguam memaklumkan tidak mempunyai wang mencukupi untuk membayar jaminan berkenaan.

Rozilah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 bagi setiap tertuduh dan memerintahkan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 9 April depan.

Pada Januari lalu, Vijayakumar turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua pertuduhan rasuah berkaitan pemalsuan sijil Ijazah Sarjana Muda sebuah universiti swasta, tahun lalu.

Mengikut dua pertuduhan, dia didakwa meminta rasuah berjumlah RM12,500 dan RM1,500 daripada seorang individu sebagai upah mendapatkan sijil Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) di Universiti Multimedia (MMU) tanpa mengikut prosedur yang betul.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 3:07 PM