SHAH ALAM 01 APRIL 2019. Saksi, Pegawai Penyiasat Kanan IPD Subang Jaya, Asisten Superintendan Lew Keng Jeo, hadir untuk inkues menentukan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim di Kompleks Mahkamah Shah Alam. STR/FAIZ ANUAR
SHAH ALAM 01 APRIL 2019. Saksi, Pegawai Penyiasat Kanan IPD Subang Jaya, Asisten Superintendan Lew Keng Jeo, hadir untuk inkues menentukan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim di Kompleks Mahkamah Shah Alam. STR/FAIZ ANUAR
Syah Rul Aswari Abdullah


PEGAWAI penyiasat kanan polis memberitahu Mahkamah Koroner Shah Alam, bahawa Muhammad Adib Mohd Kassim tidak dapat menjawab soalan sama ada dia dipukul.

Saksi ke-28 inkues, Asisten Superintendan Lew Keng Joe berkata, ia dilihat ketika kali kedua beliau melawat anggota berkenaan yang ketika itu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Institut Jantung Negara (IJN), pada 12 Disember tahun lalu.

Beliau yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya berkata demikian ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali, Faten Hadni Khairuddin pada hari ke-21 inkues kematian Muhammad Adib.

FATEN: Ada kamu tanya apa-apa soalan?

LEW: Saya terus tanya (kepada Adib) adakah kamu dilanggar atau dipukul? Adib tidak dapat menjawab.

Tetapi, dia nampak begitu beremosi dan tangan kirinya cuba menarik (tiub) di mulut tetapi dihalang oleh jururawat di sebelah kirinya. Tetapi selepas itu, Dr Ezani (Perunding Kanan Pakar Bedah Kardiotorasik IJN, Datuk Dr Mohamed Ezani Md Taib) kata Adib mungkin hilang ingatan sebab tekanan darahnya yang rendah.

FATEN: Apabila Dr Ezani cakap macam itu. Ada kamu tanya apa lagi?

LEW: Masa itu, ada jururawat tanya Adib sama ada mahu menulis di ‘white board’ (papan putih). Adib hanya geleng kepala... Dr Ezani kata dia tidak mahu tulis.

FATEN: Maka, tiada soalan lanjut ditanyakan?

LEW: Ya

Menjawab soalan lain Faten Hadni, saksi sama berkata, pada hari sama, Dr Ezani ada memberitahu pernah bertanyakan soalan sama kepada Muhammad Adib, tetapi anggota bomba itu tidak menjawab.

Sementara itu, Lew berkata, beliau ada mengunjungi Muhammad Adib sebanyak tiga kali di ICU IJN iaitu pada 28 November, 12 Disember dan 17 Disember.

Katanya, pada kali pertama, dia tidak dapat masuk ke dalam bilik menempatkan anggota bomba itu dan hanya melihat dari cermin kaca di luar bilik berkenaan.

Beliau berkata, ketika itu, Muhammad Adib tidak sedarkan diri.

Katanya, pada kali kedua, anggota bomba itu sedar dan duduk di atas kerusi dengan ada antara empat dan lima jururawat di sebelah kirinya, sebelum dapat bertanyakan soalan.

Bagaimanapun, pada kali ketiga, beliau tidak dapat masuk kerana dimaklumkan keluarga anggota bomba itu tidak membenarkan sesiapa melawat mangsa.

Menjawab soalan lain Faten Hadni, Lew berkata, beliau mengetahui Muhammad Adib sudah meninggal dunia ketika berada di rumah pada 9.45 malam, 17 Disember tahun lalu.

FATEN: Jelaskan apa yang berlaku apabila kamu pergi ke IJN?

LEW: Saya sampai di IJN, kira-kira 10.30 malam. Selepas saya sampai di depan ICU, saya dihampiri beberapa pegawai bomba dan mereka tidak pakai uniform dan berkata bedah siasat tidak perlu dilakukan dan Dr Ezani boleh sahkan punca kematian.

Saya kemudian hubungi Ketua Polis Daerah Subang Jaya dan diberitahu polis akan memohon bedah siasat kepada si mati.

Saksi sama berkata, bedah siasat kemudian dijalankan di Hospital Kuala Lumpur pada 18 Disember tahun lalu.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van EMRS (Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di IJN.

Prosiding di hadapan Koroner Rofiah Mohamad.

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2019 @ 5:30 PM