NORHIZAM (kiri) mengadakan pertemuan bersama pengayuh beca susulan penularan video pergaduhan di Dataran Menara Taming Sari, Banda Hilir baru-baru ini. FOTO Khairunisah Lokman
NORHIZAM (kiri) mengadakan pertemuan bersama pengayuh beca susulan penularan video pergaduhan di Dataran Menara Taming Sari, Banda Hilir baru-baru ini. FOTO Khairunisah Lokman
Mohd Hilmie Hussin


SATU lagi video mengenai pengayuh beca di Melaka tular dan kali ini membabitkan pertengkaran antara Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Usahawan, Industri Asas Tani dan Koperasi Norhizam Hasan Baktee dengan seorang pengayuh beca.

Bagaimanapun, kebanyakan pengayuh beca mendakwa Norhizam tidak melakukan kesalahan malah niatnya disalah erti.

Pengayuh beca, Rosli Mat Zain berkata, video itu sememangnya boleh menjejaskan imej negeri ini malah mampu memberi kesan kepada pengusaha beca.

Rosli berkata, begitupun, dari satu sudut, ada positifnya penularan video berdurasi 1 minit 35 saat itu kerana secara tidak langsung mempromosi beca Melaka yang sangat rapat dengan pelancong di negeri ini.

Menurutnya, tidak semua pengayuh beca bersikap seperti rakannya yang merakam dan menularkan video terbabit, malah kira-kira 20 pengayuh beca yang bertemu Norhizam hari ini, mengakui tindakan pengayuh beca berusia 32 tahun itu berdasarkan faktor emosi semata-mata dan suka mencetus pergaduhan.

“Tidak semua yang bersikap seperti itu. Dia bukan tak sihat tapi terlalu emosional bahkan hampir semua orang beca tidak setuju dengan tindakan dia.

“Sebenarnya tular itu saya suka, dapat popularkan beca Melaka dan secara tidak langsung dapat betulkan apa yang tidak betul,” katanya.

Seorang lagi pengayuh beca, Azman Dolah berkata, tindakan lelaki terbabit tidak mewakili semua pengayuh beca di negeri ini.

Menurutnya, individu yang mencipta kekecohan dengan melakukan provokasi terhadap Norhizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu itu, sudah berpuluh tahun mengayuh beca dan mereka sangat mengenalinya.

Dia berkata, lelaki itu suka mencari kesalahan orang lain dan pernah berlaku beberapa kes pergaduhan walaupun sesama pengayuh beca.

“Banyak laporan polis berkaitan dia. Dia memang bermasalah termasuk bergaduh dengan pengayuh beca lain, cakap nak menang saja,” katanya.

Sementara itu, Norhizam yang mengadakan pertemuan dengan pengayuh beca di Bilik Mesyuarat Memorial Kemerdekaan, Banda Hilir, berkata, beliau sudah berjumpa dengan perakam video terbabit dan memberi ruang kepadanya untuk meminta maaf malah beliau sendiri sedia memohon maaf jika melakukan kesalahan namun individu itu berkeras mahu tularkan sebahagian video.

“Saya cakap akan menyekolahkan pengayuh beca dengan memberi pelbagai kursus untuk menambah ilmu berdepan pelancong, pengayuh beca lain faham namun dia merakam sebahagian saja percakapan dan dia menuduh saya mendakwa pengayuh beca tidak sekolah.

“Semalam persatuan beca lain bersuara marahkan budak ini, dan mahu pukul dia, saya tahan dan panggil dia supaya minta maaf tapi katanya mahu tularkan juga sebelum saya membuat laporan polis,” katanya.

Norhizam berkata, sebagai Exco kerajaan negeri, insiden itu tidak akan mematahkan semangat beliau untuk terus mengambil berat permasalahan golongan itu termasuk hal membabitkan kebajikan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2019 @ 5:23 PM