Nur Saliawati Salberi


PENGAYUH beca yang dipercayai merakam dan menularkan video memfitnah kerajaan negeri akan dipanggil polis untuk dirakam keterangan dalam masa terdekat.

Ketua Polis negeri Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, pihaknya sudah menerima laporan yang dibuat terhadap lelaki berusia 36 tahun berkenaan semalam oleh Pengurus Besar Menara Taming Sari, Muhammad Md Nor di Balai Polis Melaka Tengah.

“Aduan sudah dibuat oleh pihak Menara Taming Sari dan polis akan memanggil individu terbabit dalam masa terdekat untuk diambil keterangan.

“Berdasarkan video yang ditularkan itu, ia dipercayai mempunyai tujuan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perbarisan Sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Ke- 212, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang, hari ini.

Raja Shahrom berkata, kejadian itu disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah.

Harian Metro semalam, melaporkan individu yang menularkan video memfitnah kerajaan Melaka kononnya mengeluarkan arahan mengusir pengayuh beca pada program terjunan ekstrem ‘Taming Sari Tower Base Jump 2019’ di Menara Taming Sari, malam Sabtu, digesa memohon maaf.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, kerajaan negeri menuntut permohonan maaf daripada lelaki itu kerana dakwaan itu sama sekali tidak berasas.

“Kerajaan negeri tidak pernah mengeluarkan arahan supaya mereka beredar dan saya tidak tahu ia arahan siapa. Kemungkinan adalah pihak polis trafik kerana ia di bawah kuasa mengawal lalu-lintas dan keselamatan,” katanya.

Berita berkaitan

'Mohon maaf atau kami ambil tindakan'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2019 @ 3:33 PM