KHALID (tengah) menyampaikan hadiah kepada pemenang pada program Kenduri Bahasa 2019 di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO ihsan JAWI
KHALID (tengah) menyampaikan hadiah kepada pemenang pada program Kenduri Bahasa 2019 di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO ihsan JAWI
Yusmizal Dolah Aling


JABATAN Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam usaha menjadikan masjid sebagai pusat pengembangan ilmu dan memartabatkan bahasa kebangsaan.

Menggunakan konsep RAHMAH yang mencakupi lima elemen teras iaitu Ramah, Aman, Harmoni, Mesra, Alami dan Hormat, ia menjadi projek terbaru JAWI selepas Food Bank JAWI dan Mesin ATM Beras yang dilancarkan baru-baru ini.

Pengarah JAWI, Mohd Ajib Ismail berkata, ia menjadi bukti betapa masjid tidak hanya dijadikan sebagai tempat ibadat semata-mata, sebaliknya penghubung pelbagai agensi khasnya agensi pendidikan seperti DBP bersama pelbagai kategori masyarakat khasnya pelajar sekolah.

Beliau berkata, inisiatif itu menunjukkan masjid berpotensi untuk menyemarakkan program berorentasikan bahasa dan menjadi tempat penyatuan ummah dari pelbagai bangsa dan latar belakang.

“Masjid mempunyai visi jauh supaya sentiasa dicontohi, justeru kita berharap konsep sederap bersama akan menjadikan matlamat itu tercapai.

“Antara aktiviti diadakan ialah Pertandingan Pintar Jawi, Pertandingan Baca Berita dan Kembara Syabab. Kita mahu masjid menjadi pelopor untuk memperkasa bahasa kebangsaan,” katanya ketika berucap pada program Kenduri Bahasa 2019 di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur, hari ini.

Ia disempurnakan Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad. Hadir sama, Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran.

Program terbabit diadakan sempena Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2019 @ 9:38 PM