ANGGOTA bomba meminta pertolongan penduduk menaiki motosikal memadam kebakaran hutan dekat Bukit Berapit, Bukit Mertajam. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba meminta pertolongan penduduk menaiki motosikal memadam kebakaran hutan dekat Bukit Berapit, Bukit Mertajam. FOTO Ihsan Bomba
Nur Izzati Mohamad


ANGGOTA bomba terpaksa meminta pertolongan penduduk untuk membawa mereka menggunakan motosikal bagi memadam api di kawasan hutan dekat Bukit Berapit, Bukit Mertajam, malam tadi.

Ia berikutan tiada laluan yang boleh dimasuki jentera ke kawasan berkenaan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan kebakaran hutan itu, 7.52 malam tadi.

“Kebakaran itu membabitkan pokok buluh dan longgokan ranting kayu di atas bukit dengan ketinggian 500 meter.

“Anggota yang tiba ke lokasi kejadian berdepan kesukaran apabila jentera tidak dapat memasuki laluan berkenaan dan terpaksa meminta bantuan orang awam dengan membawa pasukan operasi menggunakan motosikal untuk memadam api,” katanya.

Menurutnya, anggaran keluasan hutan yang terjejas dalam kebakaran itu meliputi kawasan sekitar 0.45 hektar.

“Proses pemadaman api dilakukan dengan menggunakan ‘Fire Beater’ dan ‘Jet Shooter’.

“Kebakaran dapat dikawal pada 8.47 malam dan operasi turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berdekatan,” katanya.

Katanya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2019 @ 1:38 AM