RONALD Kiandee (tengah) mendengar penerangan dari wakil pesawah dari Bagan Serai Perak sambil diperhatikan Pengerusi Nafas, Dr Anis Mahmud dan Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras, Azman Mahmood.
RONALD Kiandee (tengah) mendengar penerangan dari wakil pesawah dari Bagan Serai Perak sambil diperhatikan Pengerusi Nafas, Dr Anis Mahmud dan Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras, Azman Mahmood.
Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) akan melantik Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) sebagai ejen tunggal untuk mengedarkan benih padi kepada pesawah.

Menterinya Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, langkah drastik itu diambil bagi mengatasi masalah manipulasi harga setiap kali tiba musim penanaman padi.

Katanya, pihaknya juga sedang meneliti untuk memperkenalkan harga siling benih padi di peringkat pesawah bagi tujuan berkenaan.

"Itu adalah langkah drastik kita untuk mengatasi isu benih padi ini kerana keutamaan kita adalah pesawah yang membanting tulang untuk pengeluaran padi di negara ini," katanya.

Beliau mengulas laporan Harian Metro sebelum ini mengenai kewujudan orang perseorangan yang memanipulasi harga benih padi termasuk menyorokkan stok setiap kali musim penanaman padi.

Dalam laporan itu, Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras Azman Mahmood mendedahkan individu terbabit bertindak memanipulasi harga serta mengedarkan benih kampit putih yang jauh lebih rendah kualitinya.

Sindiket berkenaan mengaut untung mudah dengan menaikkan harga sebanyak RM60 sekampit (20 kilogram), iaitu lebih separuh daripada harga sebenar.

Ronald berkata, dengan pengenalan harga siling kelak, ia diharap akan mengatasi masalah manipulasi harga benih padi yang sebelum ini dijual di pintu kilang beras.

Menurutnya, selain itu, pengeluaran dan pembekalan benih berkenaan dikawal Nafas secara dalam talian menerusi sistem yang dibangunkan.

Katanya, satu pertemuan juga diadakan bersama pesawah di LPP, semalam khusus bagi mencari penyelesaian isu terbabit.

"Kita bincang banyak perkara dan ia positif. Yang penting kita mahu nasib pesawah dibela," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2020 @ 4:06 PM