ABDUL Rahim bersama isterinya, Juriah Ayub menujukkan rumah yang musnah. FOTO Faliq Lajim
ABDUL Rahim bersama isterinya, Juriah Ayub menujukkan rumah yang musnah. FOTO Faliq Lajim
Faliq Lajim


“WALAUPUN semua barangan termasuk tiga motosikal musnah, kami bersyukur kerana terselamat,” kata Abdul Rahim Bahauddin, 53, pemilik sebuah rumah yang musnah dalam kebakaran di Kampung Masjid, Lintang Rasau, Pelabuhan Klang, malam tadi.

Kejadian kira-kira 10.30 malam itu menyebabkan dia bersama 10 ahli keluarganya kini hanya tinggal sehelai sepinggang kerana tidak sempat menyelamatkan barangan atau dokumen dalam kejadian itu.

Abdul Rahim berkata, ketika kejadian dia sekeluarga keluar ke Rawang sebelum dihubungi seorang jiran memaklumkan mengenai kebakaran berkenaan.

“Pada mulanya, saya terkejut namun reda dengan apa yang berlaku apatah lagi tiada siapa berada di rumah ketika kejadian itu.

“Akibat kebakaran itu, saya terpaksa menanggung kerugian lebih RM60,000 termasuk wang tunai, barangan elektrik dan tiga kereta yang rosak akibat terkena api.

“Kami reda dan kini hanya menumpang di Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Raja Uda,” katanya ketika ditemui Harian Metro hari ini.

Menurutnya, tragedi menimpa keluarganya itu mempunyai hikmahnya dan bersyukur kebakaran tidak merebak ke rumah jiran berdekatan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Penyelamat dan Bomba (JBPM) Selangor, Norizham Mohd Nudin berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan 10.41 malam.

“Sepasukan 21 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang, Kota Raja dan Andalas bertindak memadamkan kebakaran itu.

“Setibanya di lokasi, api didapati sedang marak memusnahkan rumah berkenaan. Api berjaya dikawal pada jam 11.19 malam,” katanya.

Beliau berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2019 @ 3:41 PM