YEOH pada sidang media berhubung PBIM. FOTO Ramdzan Masiam
YEOH pada sidang media berhubung PBIM. FOTO Ramdzan Masiam
Mohamed Basyir


KERAJAAN Pulau Pinang hari ini mengumumkan pengguguran acara larian 10 kilometer (km) dalam Larian Maraton Antarabangsa Jambatan Pulau Pinang (PBIM), bermula tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan, Kebudayaan dan Kesenian Pelancongan, Yeoh Soon Hin berkata, keputusan untuk menggugurkan kategori itu bagi menjenamakan semula PBIM sebagai maraton antarabangsa.

“2019 akan menjadi tahun terakhir PBIM yang mempunyai kategori larian 10 km.

“Ini bagi memberi penekanan kepada kualiti dan bukan kuantiti demi memastikan persekitaran lebih kompetitif untuk pelari,” katanya pada sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di Georgetown, hari ini.

Setiap tahun PBIM menawarkan empat kategori iaitu maraton penuh (42 km), separuh maraton (21 km), dan 10 km bagi kategori terbuka dan kategori junior.

Mengulas lanjut, Yeoh berkata, pihaknya menjangkakan 33,000 pelari dari seluruh dunia akan menyertai PBIM tahun ini.

Katanya, pendaftaran awal akan dibuka bermula tengah malam ini sehingga 31 Mac, dan pihaknya menawarkan yuran pendaftaran lebih murah kepada 6,500 peserta terawal.

Pendaftaran dan rujukan untuk maklumat lanjut boleh disemak di laman web rasmi PBIM di www.penangmarathon.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Februari 2019 @ 4:26 PM