GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad


SEORANG kakitangan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) meninggal dunia akibat serangan jantung ketika bertugas berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas, hari ini.

Dalam kejadian 12.50 tengah hari itu, mangsa Ahmad Basir Daud, 59, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam kenderaan pacuan empat roda milik syarikat dipandunya.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan, berkata kejadian itu disedari seorang petugas bahagian kejuruteraan yang mendapati kenderaan rondaan MAHB itu terbabas ke dalam longkang.

“Mangsa didapati tidak sedarkan diri dan dibawa ke klinik menara di bangunan terminal LTAPP sebelum pegawai perubatan mengesahkan dia meninggal dunia pada 1.20 tengah hari.

“Pemeriksaan awal mendapati tidak terdapat sebarang unsur jenayah pada tubuh mangsa dan keterangan diambil daripada isterinya pula memaklumkan bahawa suaminya menghidap penyakit jantung sejak beberapa tahun lalu serta menerima rawatan di hospital,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Anbalagan berkata, mangsa yang mempunyai lapan anak sudah berkhidmat kira-kira 38 tahun sebagai pemandu di syarikat pengurusan penerbangan berkenaan.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Balik Pulau (HBP) bagi urusan bedah siasat dan hasil bedah siasat mengesahkan punca kematiannya adalah akibat serangan jantung.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 11:01 PM