RAUB (tiga dari kiri) menunjukkan komponen bersama 24 rangka motosikal ditemui susulan penahanan tiga Geng Debab di Segamat. FOTO Ahmad Ismail
RAUB (tiga dari kiri) menunjukkan komponen bersama 24 rangka motosikal ditemui susulan penahanan tiga Geng Debab di Segamat. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail

[email protected].

KEMAHIRAN tiga beradik Geng Debab 4 Stroke mematahkan kunci hendal motosikal sebelum menyambung wayar berhampiran enjin untuk menghidup dan melarikan motosikal dalam masa kurang seminit membolehkan kumpulan berkenaan mencuri hampir 35 motosikal di sekitar Segamat.

Bagaimanapun, tindakan pembeli mendedahkan identiti mereka menyebabkan polis berjaya memberkas tiga beradik lelaki dalam dua serbuan berasingan di sekitar Segamat, pada 16 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat berkata, rahsia tiga beradik itu terbongkar apabila polis menahan dua remaja lelaki dipercayai terbabit dalam perlumbaan haram jam 10.30 malam, 15 Februari lalu di Semabok, Melaka.

Katanya, hasil siasatan mendapati kedua-dua remaja berusia 19 tahun menggunakan komponen motosikal curi sebelum mendedahkan perkhidmatan disediakan tiga beradik berkenaan.

“Bertindak hasil maklumat, pada jam 9.30 malam keesokan harinya, polis menyerbu dua rumah di sekitar bandar ini serentak dan menahan dua beradik berusia 18 dan 25 tahun di satu rumah manakala ipar lelaki mereka berusia 19 tahun ditahan di rumah berasingan.

“Soal siasat mendapati, Geng Debab ini aktif sejak 2017 dan didalangi suspek berusia 25 tahun kerana mempunyai kepakaran merungkai komponen motosikal sebelum dijual.

“Hasil soal siasat membawa penemuan 24 rangka motosikal, dua motosikal yang masih sempurna dan tiga komponen enjin belum dileraikan. Kami mendapati mereka menyasarkan motorsikal empat lejang seperti Honda EX-5 kerana permintaan tinggi dan komponen dijual dengan harga antara RM350 hingga RM400,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Daerah Segamat, Deputi Superitendan Noor Ariffin Mohamad Nasir.

Raub berkata, mereka menjadikan kebun kelapa sawit berhampiran rumah sebagai lokasi meleraikan komponen motosikal curi dan membuang rangka motosikal di dalam sungai, lombong serta dahan pokok.

“Kami menemui 24 rangka motosikal termasuk Honda EX-5 dan Yamaha RX-Z di 11 lokasi berbeza iaitu di dalam sungai, lombong dan parit sekitar Kampung Tengah, Kampung Kuari, Kampung Jawa dan Bandar Putra.

“Semua nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM90,000. Kami dapati ada rangka motosikal ditemui di dahan pokok berikutan suspek mahu membuang bukti di kawasan lebih rendah tetapi tersangkut di pokok berkenaan.

“Ketua Geng Debab ini mengaku hanya mahir meleraikan komponen, namun enggan memasang komponen dijual kepada pelanggan dipercayai bagi mengelak ditahan polis,” katanya.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek ditahan reman selama 11 hari bermula 17 Februari lalu hingga 28 Februari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Katanya, polis yakin berjaya menyelesaikan 35 kes curi motosikal di sekitar Segamat dan ujian saringan air kencing mendapati mereka negatif dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Februari 2019 @ 3:54 PM