NORA (kanan) menyampaikan faedah kepada Wook sambil disaksikan anaknya, Nur Fatihah Jusoh (dua dari kiri) di Kampung Paloh Tuan Sulong, Kuala Terengganu, hari ini. FOTO Imran Makhzan.
NORA (kanan) menyampaikan faedah kepada Wook sambil disaksikan anaknya, Nur Fatihah Jusoh (dua dari kiri) di Kampung Paloh Tuan Sulong, Kuala Terengganu, hari ini. FOTO Imran Makhzan.
Ahmad Rabiul Zulkifli


KANAK-KANAK lelaki yang terselamat dalam kemalangan di Kampung Pengkalan Atap, Batu Rakit, Kuala Nerus, Sabtu lalu akan dijadikan anak angkat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Dalam kemalangan 2.50 pagi itu, Muhammad Khairul Haziq Mohd Kharulinzam @ Abdul Hadi, 5, menjadi yatim piatu selepas kematian ibu bapanya, Nur Syaazlien Syarizam Salleh, 21, dan Mohd Kharulinzam @Abdul Hadi Jusoh, 38, serta adiknya, Nur Khaira Aisyah berusia sembilan bulan.

Turut terkorban, adik dan ibu kepada Nur Syaazlien iaitu Muhammad Nashrullah, 5, dan Rozilawati Mustafa@Razali, 43.

Pengarah PERKESO Terengganu, Nora Yaacob berkata, pihaknya menjadikan Haziq sebagai anak angkat PERKESO bagi memantau kebajikan kanak-kanak terbabit sehingga dia berusia 21 tahun.

Beliau berkata, Haziq akan disenaraikan sebagai penerima zakat PERKESO pada setiap tahun dan akan menerima Faedah Pencen Penakat sehingga berusia 21 tahun dan sekiranya dia menyambung pelajaran, ia akan diteruskan sehingga tamat ijazah sarjana muda.

“Faedah Pencen Penakat diterima Haziq itu hasil daripada caruman dibuat arwah bapanya, Mohd Kharulnizam sepanjang bekerja sebagai kelindan lori dan pelbagai jenis kerja lain sebelum ini.

“Bayaran faedah itu akan diberikan bermula Mac ini dan jumlahnya masih dalam perbincangan pihak PERKESO bersesuaian dengan keperluan Haziq.

“Malah, Haziq berkemungkinan besar menerima dua Faedah Pencen Penakat kerana arwah ibunya berkhidmat sebagai pengawal keselamatan dengan sebuah syarikat pengawal keselamatan di negeri ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Faedah PERKESO di Kampung Paloh Tuan Sulong, Kuala Terengganu, hari ini.

Nora menyampaikan cek kepada nenek Haziq, Wook Awang, 68, memandangkan kanak-kanak berkenaan masih dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNR) Kuala Terengganu.

Nora berkata, beliau berharap majikan kepada Allahyarham ibunya boleh merujuk perkara itu kepada PERKESO Terengganu dan memberikan beberapa maklumat bagi memastikan kelancaran urusan berkenaan.

“Kami akan menjalankan siasatan ke atas nama serta rekod perkhidmatan ibu Haziq dan sekiranya ada caruman tertunggak tidak dijelaskan bekas majikan, ia perlu disegerakan supaya Haziq memperoleh faedah pencen penakat bahagian ibunya.

“Justeru, kami mengharapkan kerjasama semua pihak bagi melancarkan urusan itu supaya kebajikan Haziq terbela,” katanya.

Menurutnya, PERKESO sentiasa prihatin dalam memastikan kebajikan waris kepada pencarum yang meninggal.

Katanya, biarpun tidak dilaporkan, PERKESO akan terlebih dahulu bertindak dalam membela dan memastikan kebajikan mereka.

Berita berkaitan

Haziq mengigau panggil ayah

Air mata iringi pengebumian 5 sekeluarga [METROTV]

Kenangan terakhir [METROTV]

Ajal lima sekeluarga

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 9:17 PM