ANGGOTA bomba berusaha memadamkan kebakaran yang memusnahkan rumah panjang di Kampung Hobut Mantunggung. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba berusaha memadamkan kebakaran yang memusnahkan rumah panjang di Kampung Hobut Mantunggung. FOTO ihsan bomba
Recqueal Raimi

SERAMAI 32 penghuni daripada tujuh keluarga hilang tempat tinggal selepas rumah panjang didiami mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Hobut dekat Matunggong, Kudat, semalam.

Dalam kejadian 5.40 petang itu, tiada mangsa dilaporkan cedera apabila semua penghuni rumah panjang tujuh pintu terbabit sempat menyelamatkan diri.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kudat, Ishak Jabas berkata, pihaknya menerima panggilan pada 5.45 petang dan tujuh anggota dibantu empat anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) bergegas ke lokasi bersama dua jentera.

“Cuaca panas dan kering menyebabkan api merebak dengan pantas pada setiap rumah, memaksa penghuni bergegas keluar menyelamatkan diri.

“Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan namun semua penghuni tidak sempat menyelamatkan harta benda manakala hanya sebahagian yang berjaya membawa keluar dokumen penting seperti kad pengenalan,” katanya.

Ishak berkata, kemusnahan rumah panjang terbabit membabitkan 100 peratus.

“Bagaimanapun, punca sebenar kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya sambil menambah operasi ditamatkan pada 7.16 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 10:25 AM