RAKAMAN 'dashcam' dari sebuah kenderaan yang menunjukkan seorang lelaki tercampak dari kereta. FOTO Ihsan Pembaca
RAKAMAN 'dashcam' dari sebuah kenderaan yang menunjukkan seorang lelaki tercampak dari kereta. FOTO Ihsan Pembaca
Faliq Lajim


LELAKI parah selepas tercampak dari sebuah kereta yang sedang bergerak berdekatan jambatan di Jalan Sultan Abdul Samad, Banting, Khamis lalu.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, mangsa, Lim Hock Lai, 35, mengalami kecederaan teruk pada badan dan sedang menerima rawatan lanjut di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, siasatan awal mendapati adik mangsa memaklumkan hanya menerima panggilan darI Hospital Banting mengenai kejadian itu, jam 1 petang kelmarin (Jumaat).

“Pengadu dimaklumkan abangnya sedang dirawat di wad kecemasan dan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Pada waktu itu, dia turut melihat kiriman video melalui aplikasi Whatsapp yang menunjukkan kejadian seorang lelaki dipercayai abangnya yang tercampak keluar dari sebuah kereta jenis dan nombor plet yang belum dikenal pasti.

“Rakaman itu juga menunjukkan kereta itu terus memecut laju meninggalkan mangsa di tepi jalan terbabit,” katanya kepada Harian Metro.

Azizan berkata, pengadu turut memaklumkan tidak mengenali pemandu kereta berkenaan.

“Kita masih menyiasat motif dan punca kejadian itu serta meminta pemandu berkenaan tampil bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 338 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera parah sama ada secara gopoh atau cuai dengan perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain,” katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya tampil di balai polis berhampiran atau menghubungi talian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat iaitu 03-31872222

Terdahulu, rakaman video ‘dashcam’ berdurasi 0.11 saat dari sebuah kereta tular di media sosial memaparkan sebuah kenderaan sedang memintas dari belakang.

Menerusi rakaman itu, mangsa dilihat jatuh dari tempat duduk penumpang bahagian depan sebelum tercampak di tepi jalan ketika kenderaan itu masih bergerak.

Namun, kereta itu tidak berhenti dan meneruskan perjalanan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Februari 2019 @ 8:11 PM