AKTIVIS beberapa NGO bergambar kenangan selepas berakhir Bengkel Khas 360 Masjid Al Aqsa di Shah Alam, hari ini. Foto Ihsan MAPIM
AKTIVIS beberapa NGO bergambar kenangan selepas berakhir Bengkel Khas 360 Masjid Al Aqsa di Shah Alam, hari ini. Foto Ihsan MAPIM
Yusmizal Dolah Aling


SERAMAI 30 aktivis dari pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) termasuk dari Indonesia dan Myanmar yang mengikuti Bengkel Khas 360 Masjid Aqsa diberi pengiktirafan sebagai duta kecil Masjid Al Aqsa.

Bengkel dua hari dikendali Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dengan kerjasama Ummet Vakfi Turkey itu disifatkan mencapai matlamat untuk melahirkan lebih ramai sukarelawan peduli mengenai nasib saudara Islam di Palestin.

Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya yakin inisiatif itu cukup berkesan untuk memberikan gambaran sebenar kepada masyarakat Islam betapa Kompleks Al Aqsa berada dalam keadaan cukup kritikal.

Katanya, pihaknya merancang untuk mengadakan program seumpama itu kepada imam dan pegawai agama di negara ini dalam usaha berkongsi pencerahan mengenai penindasan kepada penduduk Palestin.

“Saya sudah bertemu dengan Mufti Negeri Sembilan, Pahang serta Perak selain membawa perkara ini kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, baru-baru ini dan mendapat reaksi positif.

“Sesuatu perlu dilakukan bagi memastikan usaha ini bukan saja berterusan, tetapi isu sebenar mengapa Masjid Al Aqsa ini perlu kita bantu juga perlu difahami,” katanya ketika menutup bengkel berkenaan, hari ini.

Bagi aktivis HALUAN, Izzat Ibrahim, bengkel berkenaan membuka mata peserta kerana pembentang, Dr Sameer Saed Al Quds yang berasal dari Palestin mengupas secara mendalam setiap isu diketengahkan.

Menurutnya, banyak maklumat yang sebelum ini tidak diketahui dikongsikan dan ia memberikan pandangan yang tepat mengenai Al Quds.

“Sebelum ini saya bergerak secara sendiri di kem pelarian di Perancis, namun kesempatan ini memang tidak boleh dilepaskan kerana sebenarnya kaitan Al Aqsa adalah sangat dekat dengan kita,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 5:06 PM