MD Zainon (kanan) mengambil air telaga untuk kegunaan harian keluarganya yang menetap di Kampung Sekolah Dalam Wang, Baling. FOTO Safuri Kamarudin.
MD Zainon (kanan) mengambil air telaga untuk kegunaan harian keluarganya yang menetap di Kampung Sekolah Dalam Wang, Baling. FOTO Safuri Kamarudin.
Safuri Kamarudin


“SUDAH lima tahun kami sekeluarga menggunakan air telaga selepas tidak mampu membayar bekalan air disediakan Syarikat Air Darul Aman (SADA) menyebabkan bekalan itu dipotong,” kata Md Zainon Che Long, dari Kampung Sekolah Dalam Wang, Baling.

Md Zainon, 57, bersama tiga anaknya menggunakan air telaga untuk mandi, membasuh, memasak dan minum kerana tidak ada bekalan air bersih lain.

Menurutnya, dia menggunakan air telaga terletak kira-kira 20 meter dari rumahnya untuk rutin seharian.

“Mujur ada air telaga berdekatan rumah dan tidak kering walaupun kemarau panjang.

“Air itulah kami anak beranak guna setiap hari. Namun, pada pada waktu malam kami bimbang haiwan berbisa seperti ular berada di kawasan itu kerana ia terletak di pinggir tebing dan kawasan semak,” katanya.

Md Zainon ditemui ketika lawatan Pegawai Khas Penyelaras Parlimen Baling, Md Zuki Awang ke rumahnya, hari ini.

Katanya, dia yang mengalami sakit di kedua-dua tapak tangan dan kaki tidak dapat melakukan pekerjaan berat.

“Saya bergantung hidup dengan saraan tiga anak yang berkerja kampung dan kilang dengan pendapatan tetap.

“Selepas isteri, Fatimah Aziz meninggal 10 tahun lalu, saya tinggal bersama tiga anak di sini,” katanya.

Katanya, dia amat berharap ada pihak tampil membantu menyediakan bekalan air bersih kerana rezeki anak untuk cukup untuk belanja harian sahaja.

Sementara itu, Md Zuki berkata, dia akan memanjangkan kepada pihak yang berwajib supaya membantu keluarga berkenaan.

Beliau berkata, selain menggunakan air telaga, keadaan tempat tinggal keluarga itu daif kerana banyak atap berlubang dan bocor setiap kali hujan.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Agrobank Md Zainon 2005151000134330.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 January 2019 @ 9:50 PM