Antara tokan dan penagih yang ditahan polis semalam. FOTO Ihsan PDRM
Antara tokan dan penagih yang ditahan polis semalam. FOTO Ihsan PDRM
Norasikin Daineh


SERAMAI 68 individu ditahan atas pelbagai kesalahan membabitkan penyalahgunaan dadah di Kota Kinabalu dari 1 Januari sehingga semalam.

Ia hasil operasi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di beberapa lokasi sekitar daerah itu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, tangkapan bagi kes bekalan dan memiliki dadah adalah seramai 15 individu dan 53 lagi didapati positif dadah.

“Selain itu, polis merampas 20.62 gram dadah jenis syabu dan 50.14 gram ketamin dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM10,600 mengikut harga pasaran dadah semasa,” katanya semalam.

Habibi berkata, tangkapan membabitkan 57 warga tempatan dan 11 warga asing berusia antara 20 hingga 50 tahun.

“Semua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 January 2019 @ 10:42 AM