Pemandangan ruang udara di Pasir Gudang berhampiran kawasan Pelabuhan Johor   lengang tanpa kehadiran  pesawat dari Singapura, semalam. FOTO Zain Ahmed
Pemandangan ruang udara di Pasir Gudang berhampiran kawasan Pelabuhan Johor lengang tanpa kehadiran pesawat dari Singapura, semalam. FOTO Zain Ahmed
Izlaily Nurul Ain Hussein

Pasir Gudang: Singapura dilihat mematuhi arahan penggantungan selama sebulan bagi pelaksanaan tatacara Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) di Lapangan Terbang Seletar, Singapura dan Kawasan Larangan Kekal (RA) di ruang udara Pasir Gudang.

Ia berikutan tiada pesawat dilihat berlegar dalam ruang udara negara di sini, bermula semalam.

Tinjauan Harian Metro selama tiga jam sejak 9 pagi semalam di sekitar pusat bandar Pasir Gudang tidak mengesan kehadiran sebarang jenis pesawat republik itu di ruang udara.

Ia boleh disifatkan arahan penggantungan itu dipatuhi Singapura kerana penduduk di situ mendakwa kebiasaannya akan ada pesawat republik berkenaan melalui ruang udara negara sejak pagi lagi.

Diminta memberi komen terhadap penggantungan pelaksanaan diumumkan kelmarin, penjawat awam, Isa Mesuron, 59, berkata, dia menyambut baik keputusan dibuat kedua-dua negara, bagaimanapun masih mengharap ILS itu terus dihentikan.

“Penggunaan ruang udara negara oleh Singapura adalah tidak wajar kerana ia mengganggu pembangunan Malaysia khususnya di Pasir Gudang.

“Penangguhan pelaksanaan memang baik, tetapi jika dibantah terus, itu lebih baik. Saya mengharapkan tempoh sebulan penggantungan memadai untuk mengkaji semula baik buruknya pelaksanaan sistem itu,” katanya.

Sementara itu, suri rumah, S Manonmani, 51, berkata biarpun penangguhan pelaksanaan itu dibuat tempoh sebulan, namun perbincangan secara baik bagi mencapai kata sepakat antara kedua-dua negara lebih utama.

“Isu itu sudah lama. Bagus apabila ditangguhkan dahulu pelaksanaan itu. Tetapi, kami berharap kedua-dua negara berbincang secara baik, tidak bergaduh. Mungkin Singapura boleh fikirkan untuk mengubah haluan atau laluan pesawat mereka yang hanya melalui ruang udara mereka,” katanya yang tinggal di Pasir Gudang lebih 30 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 January 2019 @ 11:22 AM