Siraj Mohd Zaini


KEMATIAN M Thiyahu, 30, yang maut akibat ditetak di bawah pangsapuri di Seksyen 7, petang semalam, sangat dirasai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Najwan Halimi.

Beliau yang ditemui di Bilik Mayat Hospital Shah Alam, Selangor (HSAS), di Shah Alam, hari ini, menyatakan mendiang yang juga calon Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shah Alam adalah seorang individu yang mempunyai sifat pemimpin.

Menurutnya, mendiang banyak membantu penduduk setempat khususnya komuniti India di kawasan berkenaan sejak enam bulan lalu.

“Saya terkejut apabila dimaklumkan petang semalam. Mendiang ni sangat pemurah dengan senyuman, apa saja yang diminta untuk membantu, dia akan membuatnya.

“Dia banyak membabitkan diri dalam kerja sukarela sejak enam bulan lalu sebelum saya mengajaknya bertanding sebagai calon AMK, meskipun tewas tapi kerja-kerja kemasyarakatan tetap dia teruskan,” katanya.

Najwan berkata, mendiang mempunyai seorang isteri yang tidak bekerja dan seorang bayi perempuan yang bakal genap usianya satu tahun pada minggu hadapan.

“Saya diberitahu mendiang sedang merancang mengadakan sambutan hari lahir untuk anak perempuannya, kad jemputan majlis juga sudah diedarkan.

“Isteri mangsa tidak bekerja dan kematian mendiang disifatkan satu kehilangan pada komuniti India di kawasan Shah Alam,” katanya.

Mengulas lanjut, Najwan berkata, masalah sosial di sekitar pangsapuri berkenaan dipercayai tidak serius dan hanya membabitkan jenayah curi motosikal serta beberapa pergaduhan kecil.

“Saya ada dengar juga ada mengatakan mangsa cuba mempertahankan kawasan itu daripada pengedar dadah, tapi biarlah pihak polis yang menyiasatnya,” katanya.

Dalam kejadian kita-kita jam 5 petang semalam, mangsa maut akibat ditetak sekumpulan tiga lelaki bersenjatakan parang yang menaiki sebuah kereta berwarna perak.

Mangsa disahkan meninggal dunia di HSAS, dan proses bedah siasat dijangka selesai pada petang ini.

Berita berkaitan

Bekas calon AMK Shah Alam maut ditetak

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 2:19 PM