Thiew Hock Poh minta saksi kejadian langgar lari berhampiran jambatan Sungai Linggi tampil. FOTO NSTP.
Thiew Hock Poh minta saksi kejadian langgar lari berhampiran jambatan Sungai Linggi tampil. FOTO NSTP.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


POLIS meminta saksi kejadian langgar lari yang menyebabkan seorang warga emas maut di Jalan Tuanku Antah, Seremban di sini pada 30 Disember tahun lalu supaya tampil membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, pihaknya sedang mengenal pasti pemandu kereta Perodua Kelisa yang terbabit dalam kejadian itu.

Katanya, pihaknya sedang menjalankan siasatan ke atas beberapa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi bagi membantu mengenal pasti pemandu kereta berkenaan.

“Orang ramai yang memiliki maklumat berkaitan pemandu itu boleh menghubungi pegawai penyiasat polis, Inspektor Muhamad Alif di talian 06-6033400 bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kejadian jam 12.20 tengah hari itu, Loi Ah Kiow, 68 menunggang motosikal Demak Spark bersendirian dari rumah di Kampung Baru Paroi, di sini menuju ke Pekan Seremban.

Setibanya di lokasi yang berhampiran jambatan Sungai Linggi, motosikal ditunggangi mangsa bergesel dengan kereta terbabit menyebabkan dia tercampak di atas jalan dan parah di kepala.

Warga emas ini meninggal dunia jam 1 pagi, Rabu lalu ketika dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 January 2019 @ 6:05 PM