ROHANI menjaga anak sulungnya di HKL.
ROHANI menjaga anak sulungnya di HKL.
Norizuan Shamsuddin

Kuala Lumpur: “Alhamdulillah, anak selamat menjalani pembedahan kelima hari ini (semalam).

“Bagaimanapun, pembedahan untuk mengambil kulit di bahagian paha bagi menggantikan tisu yang mati tidak dilakukan berikutan tisu pada sebahagian kemaluannya yang terpotong itu sudah semakin pulih,” kata Rohani (bukan nama sebenar) berhubung perkembangan anak sulungnya berusia 12 tahun yang terputus sebahagian kemaluan sewaktu berkhatan pada 8 Disember lalu.

Menurutnya, anak sulungnya kini dilaporkan stabil dan sudah sedarkan diri selepas menjalani pembedahan selama lebih dua jam bermula jam 9 pagi di Hospital Kuala Lumpur (HKL), semalam.

Katanya, pihaknya perlu menunggu keputusan daripada pihak HKL untuk mengetahui perkembangan anaknya.

“Buat masa ini, kami dimaklumkan pembedahan itu kemungkinan yang terakhir tetapi bergantung kepada perkembangan pemulihan tisu berkenaan.

“Namun anak masih perlu menjalani rawatan di HKL dan kami tidak tahu berapa lama lagi dia perlu berada di wad.

“Jadi kami masih perlu menjaganya di wad dan kami mengalami kekangan kewangan untuk perbelanjaan hariannya di wad selain perlu membelanjakan wang untuk kos ulang-alik dari kediaman kami di Shah Alam ke HKL,” katanya.

Ibu kepada empat anak itu berkata, disebabkan kekangan kewangan, keluarganya tidak dapat menyediakan kelengkapan sekolah untuk anak-anaknya.

“Suami juga sudah sebulan mengambil cuti tanpa gaji kerana perlu menumpukan perhatian untuk menguruskan tiga lagi anak termasuk yang bongsu berusia setahun manakala saya terpaksa meneman anak sulung di wad kerana dia hanya mahu saya menjaganya.

“Malah kami terpaksa bawa semua anak ke HKL untuk dijaga bagi menjimatkan kos kerana tidak perlu berulang-alik dari rumah ke hospital,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban keluarga berkenaan boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Maybank milik Hairiah Ramli (waris Rohani) bernombor 156132668762.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 January 2019 @ 2:19 PM