GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Roji Kawi


TIGA lelaki termasuk dua warga Indonesia maut selepas kereta yang mereka naiki terbabas dan melanggar pokok di Kilometer 2, Jalan Betong, Betong, malam tadi.

Mangsa yang maut ialah pemandu kereta terbabit, Raymond Ngu, 31 dan warga Indonesia yang dikenali sebagai Sujito serta Ribut Yudi Sampurno, yang masing-masing berusia lingkungan 20-an, manakala seorang lagi mangsa berusia 18 tahun hanya cedera ringan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, kejadian 10.30 malam itu dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu Raymond, tiba-tiba hilang kawalan.

Beliau berkata, kereta terbabit terbabas ke sebelah kanan bahu jalan sebelum terlanggar sebatang pokok.

"Hasil soal siasat terhadap mangsa yang selamat, iaitu seorang pemuda tempatan berusia 18 tahun itu, pemandu kereta terbabit disyaki berada di bawah pengaruh alkohol.

"Pemandu kereta terbabit serta seorang warga Indonesia iaitu Sujito disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Betong," katanya.

Katanya lagi, kejadian itu berlaku ketika hujan lebat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 January 2019 @ 3:15 PM