GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Siti Sofia Md Nasir


MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) menyediakan Skim Budi kepada golongan keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40), dalam usaha membantu pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang kurang berkemampuan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun berkata, skim berkenaan menyediakan pelbagai bantuan termasuk pengecualian yuran awal persekolahan, bantuan elaun setiap bulan, dan pakaian sekolah percuma.

“Skim Budi ini sudah lama diperkenalkan, dan ia bertujuan khusus untuk membantu golongan B40 yang memerlukan.

“Bagaimanapun, ibu bapa pelajar MRSM tetap perlu membuat permohonan dan pihak sekolah akan tentukan kelayakan mereka seperti melihat jumlah tanggungan keluarga dan sebagainya,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Terdahulu, Rina mengunjungi ke kediaman Muhammad Aiman Afiq Mohd Basri, 12, di Nibong Tebal, bagi menyampaikan surat tawaran MRSM dan bantuan persekolahan.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Muhaimmad Aiman yang memperoleh 6A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), baru-baru ini, gagal ditempatkan di MRSM atau Sekolah Berasrama Penuh (SBP).

Mengulas lanjut, Rina berkata, setiap tahun MARA memperuntukkan sebanyak 2,200 penerima daripada seluruh negara, dengan kos sebanyak RM2,850 setahun bagi seorang pelajar.

Katanya, ketika ini kuota kemasukan MRSM bagi pelajar daripada keluarga B40 hampir dipenuhi, dengan 68 peratus pelajar kumpulan itu menerima surat tawaran.

“Alhamdulillah sehingga setakat ini sudah 68 peratus sasaran untuk B40 dipenuhi bagi sesi persekolahan 2019 yang akan bermula 14 Januari ini,” katanya.

Sebelum ini, Rina dilaporkan berkata, kerajaan menetapkan kuota 70 peratus kemasukan baharu ke MRSM bagi sesi 2019, mesti diisi pelajar daripada golongan B40.

Pix dan video Shahnaz Fazlie Shahrizal

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Disember 2018 @ 3:31 PM