FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Fardy Bungga


REMAJA perempuan menangis teresak-esak selepas diarahkan memasuki pusat pemulihan akhlak Henry Gurney oleh Mahkamah Kanak-Kanak di Kota Kinabalu, hari ini.

Gadis berusia 17 tahun itu yang mengaku bersalah atas pertuduhan terbabit dalam aktiviti persundalan terpaksa ditenangkan ibunya yang turut hadir pada perbicaraan berkenaan.

Majistret Stephanie Sharron Abbie membuat keputusan itu selepas mendengar laporan akhlak dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diwakili Pegawai Akhlak, Ihsanuddin Mohd Yusup.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Menurut pertuduhan, remaja terbabit ditahan pada 4 petang, 1 November lalu di sebuah pangsapuri di Kota Kinabalu oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7).

Remaja yang sudah tidak bersekolah sejak berusia 13 tahun itu didapati menawarkan khidmat seks dengan mencari pelanggan menggunakan aplikasi Wechat.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa Suzie @ Stephanie Kupit.

Sementara itu, dalam mahkamah berasingan, tiga sekawan mengaku tidak bersalah mendatangkan kecederaan terhadap seorang lelaki berusia 33 tahun, dalam kejadian 8 Oktober lalu.

Ketiga-tiga tertuduh, Jackson Yong Ming Soon, 19, Alffred Boyan Jeperyn, 20, dan Anthony Chang, 30 diarahkan hadir untuk sebutan semula kes pada 27 Disember depan.

Semua tertuduh dibenarkan ikat jamin sebanyak RM2,200 dengan dua penjamin setiap seorang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Disember 2018 @ 2:38 PM