Ahmad Suhael Adnan


INSIDEN hitam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman menyatukan Ahli Parlimen hari ini, yang menterjemahkan solidariti dengan menghantar usul tergempar menangguhkan sidang Dewan Rakyat bagi membincangkan isu berkenaan.

Usul dihantar secara berasingan oleh Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee bagi pihak Barisan Nasional (BN) pada sebelah pagi, disusuli Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil mewakili Pakatan Harapan (PH) pada tengah hari tadi.

Kedua-dua usul itu diterima oleh Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof dan dihantar mengikut Peraturan Mesyuarat 18(1).

Ia memperuntukkan mana-mana Ahli Parlimen boleh mencadangkan penangguhan sidang Dewan Rakyat bagi membincangkan perkara membabitkan kepentingan awam.

Fahmi berkata, Mohamad Ariff akan mempertimbangkan untuk membenarkan usul itu dibahaskan di Dewan Rakyat pada Khamis ini.

“Kami selaku Ahli Parlimen kerajaan, pembangkang dan Bebas berkumpul bersama-sama memasukkan satu usul segera mengikut 18(1) bagi membincangkan perkara yang membabitkan kepentingan awam, iaitu kejadian di Subang Jaya.

“Kami bersolidariti tanpa mengambil kira perbezaan kepartian bagi menunjukkan perlunya isu ini dirungkai bersama-sama dalam suasana harmoni

“Semua rakyat Malaysia diharap kekal bersabar dan tidak menyebarkan maklumat tidak sahih.

“Jangan membantu menyebarkan maklumat palsu yang hanya akan memburukkan keadaan,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen BN, PH dan Bebas antaranya Datuk Johari Abdul (PH PKR-Sungai Petani); Ramkarpal Singh (PH DAP-Bukit Gelugor); Alice Lau Kiong Yieng (PH DAP-Lanang); Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (PH PKR-Kapar); Tan Sri Noh Omar (BN UMNO-Tanjong Karang) dan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (BN UMNO-Arau).

Selain itu, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (BEBAS-Bagan Serai); Datuk Mas Ermieyati Samaudin (BEBAS-Masjid Tanah); Charles Anthony Santiago (PH DAP-Klang); P Prabakaran (PH PKR-Batu); SN Rayer (PH DAP-Jelutong) dan Maria Chin Abdullah (PH PKR-Petaling Jaya).

Terdahulu, dalam sidang media berasingan, Ketua Whip BN, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Ahli Parlimen pembangkang berharap Yang di-Pertua Dewan Rakyat akan meluluskan usul itu secepat mungkin kerana insiden rusuhan berkenaan memerlukan penyelesaian segera.

“Kami harap perbincangan di Dewan Rakyat akan menghasilkan tindakan segera untuk dilaksanakan pihak berkuasa bagi menyelesai dan menghentikan secara tuntas himpunan dan rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman.

“Kebimbangan kami adalah jika ia berterusan dan tidak dihentikan segera, insiden sama akan merebak di bandar dan negeri lain kerana banyak pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan seolah-olah ini isu perkauman.

“Kami turut kesal dengan kejadian menimpa anggota bomba yang tidak pun terbabit dalam rusuhan itu, tetapi menjadi mangsa dan kita doakan beliau sembuh segera dan kembali bertugas,” katanya.

Turut hadir pada sidang media itu termasuk Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (BN UMNO-Lenggong); Datuk Halimah Mohamed Sadique (BN UMNO-Kota Tinggi); Datuk Seri M Saravanan (BN MIC-Tapah) dan Mohd Shahar Abdullah (BN UMNO-Paya Besar).

Sementara itu, Noh mengingatkan orang ramai supaya tidak mencurah minyak dalam api perkauman yang semakin membara susulan insiden rusuhan itu.

“Jika api ini marak, ia tidak mengenal mangsa dan akan membakar sesiapa saja sama ada Melayu, Cina atau India. Sebaiknya, kita bersama padamkan api ini sebelum ia merebak,” katanya.

Charles pula mengingatkan semua pihak, khususnya masyarakat India untuk kekal tenang dan berpegang teguh pada nilai keamanan, keadilan dan harmoni, sementara menunggu penyelesaian daripada kerajaan Selangor.

“Sudah 61 tahun kita hidup bersama dan kita mahu terus kekal bersama-sama dalam suasana aman dan damai,” katanya.

Lagi berita berkaitan Rusuhan Kuil Maha Mariamman

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 November 2018 @ 9:20 PM