NIK Aris Ghazali, 24 dipenjara enam bulan dan denda RM15,000 di Mahkamah Sesyen terhadap tuduhan mencabul remaja perempuan berusia 19 tahun yang dikenali selama seminggu melalui aplikasi WeChat. FOTO Zaman Huri Isa
NIK Aris Ghazali, 24 dipenjara enam bulan dan denda RM15,000 di Mahkamah Sesyen terhadap tuduhan mencabul remaja perempuan berusia 19 tahun yang dikenali selama seminggu melalui aplikasi WeChat. FOTO Zaman Huri Isa
Muhamaad Razis Ismail


BEKAS tentera dipenjara enam bulan dan denda RM15,000 di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini, terhadap tuduhan mencabul remaja perempuan yang dikenali selama seminggu melalui WeChat, tahun lalu.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Nik Aris Ghazali, 24, mengaku salah terhadap tuduhan.

Mahkamah memerintahkan hukuman itu bermula hari ini dan memerintahkan hukuman penjara tambahan 10 bulan jika gagal membayar denda terbabit.

Bagaimanapun, tertuduh membayar denda itu.

Isteri tertuduh yang turut hadir di mahkamah dilihat menangis teresak-esak selepas mendengar keputusan mahkamah.

Mengikut tuduhan, tertuduh yang berpangkat Prebet ketika itu, didakwa mencabul kehormatan mangsa yang yang berusia 19 tahun di dalam pejabat Unit 5 Rejimen Artileri Diraja (RAD), Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas pada 11.30 malam hingga 12 tengah malam, 26 November 2017.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh berjumpa dengan mangsa di pasar raya di Kota Bharu selepas selesai bekerja dan mengajaknya ke kedai makan.

Tertuduh kemudian mengajak mangsa menaiki keretanya dan memberitahu mahu menghantar dahulu rakannya yang ada bersamanya ketika itu di Kem Desa Pahlawan.

Selepas berbuat demikian, tertuduh mengajak mangsa masuk ke dalam pejabat sebelum mencabulnya.

Terdahulu, peguam Ahmad Nuri Abdul Rahman yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan dengan mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh menjimatkan masa dan kos mahkamah.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Noorazlinawati Md Arshad memohon hukuman setimpal berikutan mangsa mengalami trauma.

“Tertuduh mengambil kesempatan terhadap mangsa yang percaya kepadanya. Walaupun tidak sempat dirogol, perlakuan tertuduh memberi kesan kepada mangsa.

“Mohon mahkamah mengambil kira ketika kejadian tertuduh masih anggota tentera,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 November 2018 @ 2:12 PM